Bajet Kedah 2026 realisasikan slogan Kedah Sejahtera

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya menyifatkan Bajet Kedah 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai manifestasi nyata kepada slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.

- Advertisement -

Menurut beliau, anggaran Bajet Kedah 2026 sebanyak RM1.33 bilion menggambarkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat terus dipacu secara mampan.

“Bajet ini memperincikan tiga teras utama iaitu pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan penyampaian perkhidmatan yang diharap menjadi panduan jelas dalam mencapai objektif bajet tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas rekod prestasi kewangan tahun 2024 yang mencatat terimaan hasil RM769.53 juta, bersamaan 102.88 peratus daripada anggaran ditetapkan.

“Prestasi cemerlang ini wajar diteruskan untuk tahun-tahun mendatang sebagai bukti pengurusan fiskal yang berintegriti dan berkesan,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam masa sama, Dato’ Ahmad turut menyeru agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memainkan peranan masing-masing dengan berhemah dan berprinsip, biarpun komposisi DUN Kedah kini memperlihatkan kekuatan pihak kerajaan dengan 33 kerusi berbanding tiga di pihak pembangkang.

“Wajar semua ADUN berperanan melakukan semak imbang dalam perbahasan demi kesejahteraan rakyat. Bawalah suara rakyat di Sidang DUN,” serunya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh kakitangan kerajaan negeri yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -