ART: Malaysia berisiko jadi ‘negara lindungan’ Amerika

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) ditandatangani kerajaan dengan Amerika Syarikat (AS) dilihat terlalu tergesa-gesa dan berisiko meletakkan Malaysia sebagai ‘negara lindungan’ (vassal state) kepada kuasa besar itu.

- Advertisement -

​Tokoh Wartawan Negara, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, pimpinan Kerajaan Madani dilihat tunduk kepada tekanan Presiden AS, Donald John Trump, walaupun dasar perdagangan Trump itu ditentang di seluruh dunia, malah di dalam negaranya sendiri.

​”Maaf cakaplah kalau saya kata, gabungan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, terlalu tergesa-gesa tunduk kepada ancaman Trump,” tulisnya di laman _Facebook_.

​Beliau menyifatkan Trump sebagai ahli perniagaan yang kini memaksa seluruh dunia memikul beban ekonomi Amerika yang tidak produktif, di mana mengimport lebih banyak daripada eksport.

​”Untuk tutup jurang ini, Trump kenakan tarif (cukai import) yang tinggi ke atas kira-kira 100 negara di dunia. Harga barang-barang import naik. Pengguna Amerika susah. Negara-negara luar berhenti beli hasil pertanian Amerika. Petani Amerika susah,” jelasnya.

Ujar ​Abdul Kadir, dasar tarif itu ditentang hebat di AS sendiri, di mana ramai Ahli Kongres dan hakim Mahkamah Agung mempersoalkan kesahihannya di sisi undang-undang.

​”Trump sudah mula kecut perut. Beliau berkata, kalau Kongres dan Mahkamah Agung sekat perintah beliau, Amerika kena bayaran balik trilion dolar. Maksudnya, tarif Trump ini buruk kepada kepada dunia dan kepada rakyat jelata Amerika sendiri,” katanya.

​Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Malaysia menandatangani ART pada 26 Oktober lalu, sedangkan negara lain menentang dasar Trump.

​Beliau turut memetik pandangan penganalisis luar, termasuk Pengarang Perdagangan akhbar Financial Times, London, Alan Beattie, yang memberi amaran bahawa perjanjian itu berisiko menjadikan Malaysia ‘negara lindungan’ Amerika.

​”Kalau zaman dulu kala, kena hantar wang emas (ufti). Sekarang elemen nadir bumi (REE),” ujarnya.

​Abdul Kadir turut membangkitkan kebimbangan mengenai implikasi geopolitik tindakan kerajaan itu.

​”Bala (ujian) ke atas negara kita mungkin belum berakhir. Setelah melihat Anwar menari dengan Trump, takkan China akan berdiam diri?” soalnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -