
ARAU: Hari Sayyidatina Asma’ dan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 (BKK25) Peringkat Negeri Perlis telah berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian bermanfaat untuk semua peringkat masyarakat.
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Perpaduan dan Alam Sekitar di bawah pimpinan Wan Badariah Wan Saad membawa mesej memperkukuh kasih sayang, perpaduan dan kesejahteraan keluarga.
Antara pengisian utama yang diadakan ialah Women’s Talk, Konvensyen Wanita 2025, Sesi Ceramah Keselamatan Siber bersama PDRM, Bengkel Solekan dan Penataan Gaya, Program Derma Darah, Kasih Family Fun Walk, serta Pertandingan Mewarna dan Jualan Usahawan.
Setiap acara dirangka bagi menyemai nilai kekeluargaan, memperkasa wanita, dan meningkatkan kesedaran sosial dalam suasana santai dan mesra keluarga pada program berlangsung di Dewan Sivik, di sini 7 hingga 9 November lalu.
Pada 7 November, program dimulakan dengan Bengkel Solekan dan Penataan Gaya yang memberi pendedahan tentang teknik solekan asas, penjagaan diri dan penampilan sopan.
Menurut Wan Badariah, objektif bengkel ini adalah bagi melahirkan wanita berkeyakinan tinggi serta memahami kecantikan sebagai lambang nilai diri dan keperibadian Muslimah.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Najwa Othman, isteri kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Sesi Women’s Talk bersama Ardell Aryana turut mencuri perhatian apabila beliau berkongsi pengalaman menyentuh hati mengenai perjalanan dakwahnya ke bumi Palestin.
Kisah keberanian dan ketabahan rakyat Palestin yang disampaikan berjaya menyuntik semangat keinsafan serta menyeru hadirin agar mensyukuri nikmat keamanan dan memperkukuh kasih sayang sesama keluarga.
Pada 8 November, Konvensyen Wanita 2025 yang bertemakan ‘Memperkasa Wanita, Membina Legasi’ menghimpunkan ratusan peserta dengan dua tokoh panel terkenal iaitu Ustazah Asmak Husin dan Imam Besar Negeri, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Kedua-dua panel menekankan kepentingan wanita dalam mendidik generasi berilmu, mengurus keluarga dengan hikmah, dan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat serta negara.
Turut berlangsung pada hari yang sama ialah program Derma Darah yang berjaya mengumpul 51 pek darah daripada 57 penderma, hasil kerjasama orang ramai dengan pasukan perubatan.
Selain itu, Sesi Ceramah Keselamatan Siber dari pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Perlis memberi kesedaran kepada peserta tentang ancaman penipuan dalam talian dan pentingnya keselamatan data peribadi di era digital.
Wan Badariah menegaskan bahawa kekuatan negara bermula daripada institusi keluarga yang harmoni, berkasih sayang dan berakhlak.
“Wanita adalah nadi kekuatan masyarakat. Melalui sambutan ini, kita mahu setiap ahli keluarga memahami peranan masing-masing dalam membina kesejahteraan ummah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer.
Program tiga hari ini bukan sahaja mengangkat peranan wanita sebagai pemangkin perubahan, tetapi turut menzahirkan nilai kasih sayang, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Perlis selaras dengan visi negeri Perlis Sejahtera, Rakyat Bahagia. – HARAKAHDAILY 11/11/2025















