
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim seperti ‘mengalih tiang gol’ dan gagal memberikan jawapan balas terhadap tuduhan berat yang dilemparkan oleh bekas Ketua Radio dan Televisyen Tentera DiRajaThailand, Jeneral A Rangsi Kitiyansap.
Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali yang juga seorang pengamal undang-undang mempersoalkan reaksi balas Perdana Menteri di mana disifatkannya sekadar ‘riuh dan tidak cerdik’.
Beliau merujuk kenyataan Anwar apabila menyamakan jeneral itu seperti PEJUANG yang kalah hilang deposit dan kehabisan modal.
”Dia kata semua hilang modal tak ada idea lain. Dia kata tak ada masalah kalau kritik. Dia kata kritikan itu harus dijawab supaya maklumat sampai. Mana jawapan dia? Saya tak jumpa. Tolong tunjuk,” tulis Rafique dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Rafique, tuduhan Rangsi Kitiyansap adalah berat, iaitu menuduh Anwar sebagai ‘pengintip dan pengkhianat’ serta ‘manusia yang tidak boleh pakai’.
”Rangsi kata sebegitu pada Anwar. Bukan pada Panglima Tentera Malaysia, atau pempengaruh-pempengaruh media sosial yang taksub pada PKR atau Anwar. Bila tak ada jawapan alih tiang gol. If you cannot convince them, confuse them,” bidasnya.
Rafique juga turut memetik ucapan Anwar yang dilihat cuba mengalihkan isu dengan menonjolkan kejayaan pentadbirannya dalam membanteras rasuah dan ketirisan.
Beliau memetik Anwar berkata, “Allah SWT beri kesempatan tadbir negara, jangan curi duit, jangan tipu, kayakan diri, jangan amal rasuah dan sakau ni, tak boleh lagi dah”.
”Dua tahun kita perintah 2023, 2024, kita jimat belanja kita rampas kita serang kartel, berapa kita selamatkan, RM15.5 bilion. Saya nak tanya orang yang berdegar-degar cakap Islam, cakap Melayu, masa hangpa perintah pasai apa hangpa tak serang depa?”
”Ini yang dikatakan pimpinan. Nak bersyarah tegang leher duk maki orang di kampung semua berani. Bila ada kuasa hangpa tak buat pun,” kata Anwar dipetik oleh Rafique.
Mengulas lanjut, Rafique menegaskan bahawa isu ini melibatkan imej, maruah dan kedaulatan negara.
”Perdana Menteri mesti tegas pertahan pendirian dan kedaulatan negara dengan jelas. Anwar tak ada kriteria ini. Dia tak jumpa ‘exit’ untuk isu ini. Sama macam dia tak jumpa ‘exit clause‘ Perjanjian (Perdagangan) Timbal Balik Amerika dan Malaysia – ART2025. Inilah dia Anwar,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











