
KUALA LUMPUR: Tindakan 34 Ahli Parlimen (MP) kerajaan PH-BN yang tidak hadir semasa sesi undian di Dewan Rakyat baru-baru ini dilihat bukan sebagai tanda gabungan itu akan menarik diri daripada kerajaan, sebaliknya ia lebih kepada satu ‘protes senyap’.
Pakar Ekonomi, Profesor Emiratus Dr Barjoyai Bardai berkata, ketidakhadiran itu menunjukkan wujudnya retakan dalaman dan rasa tidak puas hati yang semakin ketara dalam gabungan kerajaan.
Beliau menjelaskan, tindakan itu lebih dilihat sebagai protes terhadap beberapa keputusan kerajaan, seperti isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat, yang turut dikritik oleh MP kerajaan sendiri semasa perbahasan.
”Tidak ada bukti kukuh bahawa PH-BN akan menarik diri daripada kerajaan. Namun, ia menunjukkan retakan dalaman dan ketidakpuasan hati yang semakin ketara dalam gabungan kerajaan, bukan tanda rasmi keluar kerajaan setakat ini,” katanya.
Mengulas kemungkinan berlakunya kejutan undian menolak rang undang-undang (RUU) sehingga kerajaan boleh jatuh, Dr Barjoyai menyifatkan kemungkinan itu sebagai ‘sangat tipis’ buat masa ini.
Beliau merujuk kepada kelulusan Belanjawan 2026 yang masih diluluskan dengan majoriti 120 undi berbanding 67 menolak.
”Namun, jika trend ketidakhadiran berulang pada pengundian penting seperti bacaan ketiga Bajet atau RUU kritikal, ia boleh membuka ruang kepada pembangkang untuk menggagalkan sesuatu rang undang-undang.
”Ini akan memberi tekanan besar kepada kerajaan, tetapi untuk menjatuhkan kerajaan memerlukan undi tidak percaya yang formal,” jelasnya.
Dr Barjoyai berkata, setakat ini, tiada sebarang usul undi tidak percaya dikemukakan dalam Aturan Mesyuarat Parlimen.
Menurutnya, Speaker Dewan Rakyat sebelum ini telah menegaskan bahawa usul sebegini jarang berlaku dan memerlukan prosedur khusus serta kelulusan.
”Walaupun pembangkang pernah mencadangkan perkara ini, ia tidak dimasukkan dalam agenda rasmi. Namun, jika ketidakpuasan hati dalam blok kerajaan semakin memuncak, tekanan politik boleh meningkat menjelang akhir sidang,” katanya.
Mengenai isu-isu menyebabkan MP PH-BN bertindak sedemikian, Dr Barjoyai menggariskan beberapa faktor utama, antaranya ialah ketidakpuasan hati terhadap dasar kerajaan yang dilihat menyimpang daripada perjuangan asal gabungan, selain isu ART dengan AS di mana turut dikritik oleh MP PH-BN sendiri.
Turut menjadi punca ujarnya, ialah krisis keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan dasar ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, ringgit lemah, dan isu subsidi.
Selain itu, katanya lagi, ia didorong oleh ketegangan dalaman antara parti gabungan (Umno-DAP) yang menimbulkan rasa tidak selesa, serta persepsi bahawa kerajaan gagal menunaikan janji reformasi dan berlaku pelantikan berunsur kronisme.
Kesimpulannya, beliau menyifatkan ketidakhadiran 34 MP itu sebagai ‘signal politik yang serius’ dan bukan sekadar isu disiplin.
”Ia menunjukkan keretakan dalaman gabungan PH-BN dan boleh menjadi indikator kepada cabaran kestabilan kerajaan menjelang akhir sidang Parlimen.
”Namun, buat masa ini kerajaan masih mempunyai majoriti selesa, tetapi perlu menangani isu dalaman dan persepsi rakyat segera,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











