PN Sabah dekati rakyat bukan hanya menjelang PRN

Hasan Haris menyantuni peserta yang menyertai Program Tukar Minyak Hitam Percuma di Bengkel AG Project, Merotai Besar, semalam.
- Advertisement -

KALABAKAN: Pendekatan politik Perikatan Nasional (PN) di Sabah digerakkan dengan cara yang lebih dekat dengan denyut nadi rakyat, bukan sekadar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

- Advertisement -

Menurut Penyelaras PN DUN Merotai, Hasan Haris, rakyat mahukan politik yang menjaga mereka, bukan hanya meminta undi.

“Program ini membuktikan bahawa pendekatan baharu politik PN di Sabah iaitu politik yang tidak hanya bicara kuasa, tetapi menyentuh peluh rakyat,” katanya semasa Program Tukar Minyak Hitam Percuma yang diadakan di Bengkel AG Project, Merotai Besar di sini, semalam.

Menurutnya, sambil menunggu motosikal masing-masing diservis, para peserta turut dijamu sarapan pagi dan berpeluang berbual mesra dengan pimpinan setempat.

Tambahnya, suasana itu menggambarkan politik yang hidup di tengah rakyat, bukan sekadar menjelang pilihan raya.

Hasan juga berpesan kepada masyarakat agar sentiasa memastikan keselamatan di jalan raya serta memeriksa kenderaan dengan baik sebelum menunggang.

Seramai 50 penunggang motosikal menerima manfaat terus daripada inisiatif yang digerakkan oleh PN DUN Merotai bersama ARC Kalabakan dan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Program santai namun bermakna itu turut disertai oleh Ketua Pemuda PAS Kalabakan, Razman Roslee dan wakil Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Muhammad Irsyad Syafiq, sebagai tanda solidariti antara negeri dalam memperkukuh gerakan anak muda Islam di Sabah.

Sementara itu, seorang peserta, Arif Arfah bersyukur dapat menyertai program tersebut.

“Jarang-jarang ada program begini di Merotai. Bagi kami yang B40 ini, inisiatif seperti ini sangat membantu.

“Kalau boleh, buat la sebulan sekali, sebab motor ni pengangkutan utama orang kampung,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2025

- Advertisement -