
PRN SABAH semakin hampir. Beberapa parti dan blok sedang menyusun strategi. Rakyat Sabah mungkin sukar membuat keputusan, bukan kerana mereka tidak bermaklumat atau lemah dalam membuat keputusan tetapi kerana perubahan politik selepas PRN yang sukar dijangka.
Mungkin pengundi Sabah bimbang pilihan sebelum pilihan raya bertentangan dengan keputusan selepas pilihan raya. Ini kerana apa yang berlaku di PRU15 di mana pengundi Barisan Nasional (BN) memilih mereka kerana menolak Anwar Ibrahim dan DAP tetapi undi mereka menghasilkan sebaliknya selepas PRU. Begitu juga pengundi DAP dan Pakatan Harapan (PH). Lebih mengecewakan undi yang diberi di Sabah kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) di bawa lari menyokong PH-BN.
Berkaitan PRN Sabah, dimulakan tulisan ini menilai BN atau Umno. Secara ringkas, Umno pernah diberi peranan panjang memerintah Sabah dan sebahagian besar pemimpin parti politik yang ada di Sabah pernah memerintah melalui BN. Ternyata pemerintahan panjang Umno-BN di Sabah gagal membangunkan Sabah.
Saya pernah ikuti PRN Sabah sejak 1998 secara langsung. Ternyata politik janji pembangunan adalah teras kempen Umno sebagai parti berkuasa ketika itu. Hampir tiga puluh tahun isu sama masih di laungkan. Paling mencuit hati ialah apabila membaca berita pemberian tong biru di pulau yang masih menjadi cara berkempen BN Umno atau pemimpin parti politik Sabah walau telah berpindah parti. Bagi pengundi berakal ia tanda kegagalan BN sejak dulu. Umno masih menganggap pemikiran dan budaya politik rakyat Sabah seperti tiga puluh tahun dulu. Sangat menghina pengundi terutama generasi baru yang jauh lebih berpendidikan.
Umno-BN kali ini masih kitar semula pemimpin. Individu ditampilkan pula bukan pemimpin bersih tetapi dibersihkan oleh Kerajaan PH yang disertai Umno. Saya yakin pemimpin Umno Pusat juga menyedari perkara ini namun tiada pilihan kerana individu itu dikatakan melakukan politik ‘buldoz’ jika orang lain dilantik.
Menjadikan beliau sebagai ‘poster boy’ BN bererti mengabaikan aspirasi rakyat Sabah terutama saki baki penyokong Umno yang juga mengharapkan perubahan. Dengan pelantikan beliau sebagai Calon Ketua Menteri, BN seolah memberi isyarat kepada penyokong mereka bahawa tiada perubahan kepada Umno dan pastinya mengecewakan rakyat Sabah khasnya pengundi muda termasuk penyokong setia Umno.
Saya simpulkan tulisan ringkas ini bahawa Umno-BN bukan lagi pilihan rakyat Sabah. Umno-BN seolah tidak menerima isyarat perubahan pengundi dan memaksa mereka menerima apa sahaja keputusan Umno seolah mereka merasakan pengundi tiada pilihan seperti puluhan tahun dulu. Pengundi tiada pilihan selain menolak Umno BN.
FARIS AUDAH – HARAKAHDAILY 10/11/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











