
SERANGAN bertali arus jentera propaganda BN-PH menghentam PAS namun permata tetap permata. Lihat sahaja Konvensyen PAN hari ini, tidak semena-mena nama PAS dipetik untuk menutup kebobrokan pengurusan parti anak didik DAP itu. PAS di seluruh negara tetap meriah menerima keahlian baru, bak neon yang memicu pesona kelkatu.
Semalam, Dato’ Hussein Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu menerima 27 borang PAS daripada penyokong Umno di Darang Buaya, Jerteh, Terengganu. Musim tengkujuh tetap menjadi hangat apabila Ustaz Mohd Harun Esa dan Ustaz Hishamudin Karim memberikan wejangan mengenai kewajiban menggabungkan diri dengan jamaah Islam, juga isu-isu domestik yang menghimpit rakyat terbanyak.
Rakyat bawahan sendiri hari ini membahas tentang naratif gelap pembenci PAS, luapan api semangat seolah-olah bahang pilihanraya semakin menebar aroma. Di sudut lain, rakyat bawahan mula bercakap di kedai-kedai kopi, serambi masjid dan surau, juga merambah ke pelbagai media sosial.
Perbincangan seputar isu kedaulatan tanah air pasca kehadiran Presiden Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur. Turut memanaskan bilik mesyuarat, ruang usrah dan kumpulan aplikasi WhatsApp seputar isu-isu keselamatan negara, juga indeks kebahagiaan menjunam teruk.
Terengganu sebagai jantung hati negeri orang Melayu tetap memicu pelbagai isu. Negeri orang Islam yang dibuli Kerajaan Pusat, cukai serta hasil mahsul Terengganu diratah tapi tidak dipulangkan dengan sempurna.
Umno Terengganu menggiatkan kempen menyerang kerajaan PAS Terengganu, dengan pelbagai isu yang menjadi boomerang kepada mereka sendiri.
Mereka cuba menunggang isu penganjuran RXZ, isu kenaikan tarif air, runtuhan Jalan Pantai Batu Rakit, kritikan Menteri Besar Terengganu terhadap RMK-13, namun sendu diserap isu-isu nasional yang lain.
Rakyat Terengganu secara umumnya berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS yang dinakhodai oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Banyak faktor indeks kepuasan rakyat Terengganu terhadap kerajaan PAS yang memerintah sekarang, segalanya memungkinkan rakyat akan mengadili keseronokan ini ke dalam peti undi PRN-16 ini.
Kerajaan PAS di Terengganu menunaikan manifesto sebelum ini, antaranya memberikan tanah kepada rakyat, pemberian rumah kepada rakyat miskin, pemberian lesen motor kepada anak muda secara percuma, bayaran wad kelas ketiga percuma dan lain-lain tawaran. Umno dan PH tidak mampu menembak kerajaan PAS dalam keseriusan menunaikan manifesto. Untuk menyekat kemaraan PAS maka tindakan menyekat royalti dilakukan, bukan sekadar membungkam suara rakyat.
Berhijrah keluar ahli-ahli Umno di Terengganu dengan kewajaran serta alasan yang munasabah. PAS Terengganu melangkah dengan senyuman bergaya di bawah kepimpinan Dato’ Ustaz Hussein Awang. Rakyat melihat dengan jelas perbezaan pimpinan PAS dengan Umno. Gaya hidup sangat ketara. Pimpinan Umno tanpa ada kuasa, tidak turun ke lapangan masyarakat, manakala pimpinan PAS tanpa jawatan kerajaan tetap turun menyantuni masyarakat. Kenduri, bersalin, sakit dan kematian tetap tunjuk muka!
Sepanjang tujuh tahun ini juga, landskap sosio budaya Terengganu yang semakin membaik, ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu.
Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan Ilmu Jerteh, Medan Ilmu Hulu Terengganu dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah-pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak kopi panas yang dimakan dengan nasi dagang.
Penyokong Umno sendiri mengakui bahawa kerajaan PAS Terengganu tidak mengamalkan polisi balas dendam. Mengheret politik dan menghunus permusuhan bukanlah cara pemimpin-pemimpin PAS dan ini menyebabkan rakyat terbanyak melihat keadilan sosial. Daripada anggota legislatif PAS, sehinggalah Pengerusi JPKK telah melaksanakan dasar ‘tidak memilih bendera’ dalam menyalurkan bantuan. Berbeza dengan zaman Umno BN sebelum ini sewaktu memerintah, bantuan kepada kelompok penyokong pembangkang disepikan, bahkan sangat ekstrem pada dekad 1980-an sehingga menimbulkan pecah belah dalam masyarakat akibat penindasan dan intimidasi. Dalam keadaan mereka kalah juga, lihatlah isu integriti yang berlaku dalam isu KETENGAH, isu cop JPKKP dan sebagainya.
Ahli-ahli Umno adalah sahabat kita yang perlu difahamkan matlamat berpolitik dengan nilai ukhrawi, dengan seribu satu masalah yang menimpa bangsa ini di zaman Kerajaan Madani, seolah-olah barokah disentap Yang Maha Esa.
Kepimpinan PAS di semua peringkat wajib melengkapkan pakej kompetensi kepimpinan, juga menguasai akar umbi di setiap ceruk kawasan pengundian. Insya-Allah, Terengganu akan terus bersama Gelombang Hijau dan penolakan total terhadap kerajaan PH-BN dalam PRU-16.
Terengganu tanah barokah yang menyaksikan ratusan ulama mengucur keringat, ilmu bahkan darah sejak zaman dahulu mempertahankan Deenullah.
Insya-Allah, dalam tahun 2026, kempen ‘Selamat Tinggal Umno’ akan menaufan negeri ini.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 10/11/2025













