
BALING: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merangkap Tuanku Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen UniSHAMS Kali Ke-27.
Baginda dalam titahnya menegaskan bahawa kejayaan akademik bukan sekadar simbol ilmu, tetapi juga manifestasi kesungguhan, pengorbanan dan ketabahan setiap pelajar dalam menempuh perjalanan ilmu.
Titah baginda, tema istiadat tahun ini, ‘Mutiara Kebijaksanaan’ membawa makna mendalam terhadap pentingnya ilmu yang disertai hikmah dalam membimbing diri, masyarakat dan negara ke arah kesejahteraan dan kemuliaan.
“Ilmu perlu dicari, dipelajari, difahami dan dihargai dengan sebaiknya. Kebijaksanaan bukan sekadar mengetahui tetapi memahami dan menghayati,” titah baginda pada istiadat berlangsung di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, UniSHAMS, Kuala Ketil, di sini kelmarin.
Tuanku Canselor turut menyatakan keyakinan bahawa UniSHAMS akan terus melahirkan graduan berilmu dan bijaksana serta menyeru warga universiti agar berani meneroka bidang baharu.
“Seperti Artificial Intelligence (AI), robotik, smart farming dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) supaya universiti kekal relevan dan berdaya saing dalam era global,” titah Tuanku.
Dalam kesempatan itu, baginda merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas peruntukan dana pembangunan Kolej Kediaman Pelajar serta mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Derma Wangsa, Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Azman Syed Ibrahim atas sumbangan dana pembinaan Kompleks Islam Pintar UniSHAMS.
Baginda menzahirkan harapan agar proses pembinaannya dapat disegerakan demi memperkasa semangat pelajar dan imej universiti.
Titah baginda turut menyentuh penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah Anumerta kepada mantan Menteri Besar Kedah ke-10, Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan legasi besar Allahyarham dalam pembangunan universiti tersebut.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi dan seluruh warga UniSHAMS atas komitmen mereka dalam menjayakan agenda The Greater Kedah 2035, serta menyeru agar nilai amanah, dedikasi dan integriti terus menjadi tunjang dalam pentadbiran universiti.
“Kejayaan sebenar bukan terletak pada pangkat dan kedudukan, tetapi pada manfaat yang kalian berikan kepada agama, bangsa dan tanah air,” titah baginda lagi.
Tuanku Canselor turut menzahirkan sokongan penuh kepada UniSHAMS untuk terus memperkukuh peranannya sebagai aset pelaburan jangka panjang negeri dalam melahirkan generasi muda berpendidikan dan berakhlak mulia.
Baginda jufa mendoakan agar segala usaha yang dilaksanakan mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT serta UniSHAMS terus berada di bawah naungan dan peliharaan-Nya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025












