REE: Jangan biar negeri terus dibuli, mengemis Pusat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh anak muda di negeri ini untuk terus berdiri teguh mempertahankan hak terhadap sumber unsur nadir bumi (REE) yang dimiliki Kelantan.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tindakan itu penting bagi memastikan hak negeri tidak dikhianati atau dinafikan Kerajaan Persekutuan sebagaimana royalti petroleum.

“Jika royalti petroleum pun rakyat Kelantan dianiaya dan dipermainkan dengan pelbagai terma politik dendam, kini dalam isu REE jangan pula hak negeri ini diperlihatkan seolah-olah mengemis hak sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap sikap hipokrit pemimpin tertentu di mana dilihat bermuka-muka dan tidak telus sebagaimana nasib hak royalti petroleum yang belum diselesaikan secara adil.

Kini menurut Firdaus, semakin terbukti apabila wujud kecenderungan untuk menafikan hak negeri di bawah gabungan kerajaan empat negeri (SG4) yang memiliki deposit REE terbesar di Malaysia.

Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan pada Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Amerika Syarikat berkaitan REE turut menimbulkan keraguan kerana negeri tidak dilibatkan dalam perbincangan.

“Perdana Menteri perlu menjelaskan segala butiran isi penuh perjanjian yang ditandatangani tersebut kepada Parlimen serta Majlis Tanah Negara sebagaimana gesaan negeri.

“Kerajaan negeri mesti dilibatkan dalam setiap sesi perbincangan kerana ia melibatkan sumber dan kedaulatan hak negeri,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terus bermain dengan naratif politik picisan dan isu remeh yang cuba menutup persoalan sebenar berkaitan REE.

“Dalam isu besar ini, PM tidak perlu bermain wayang. Soal hak negeri dan rakyat bukan bahan senda gurau atau lakonan politik yang boleh digula-gulakan,” katanya.

Beliau juga mengulas kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang dianggap tidak meyakinkan apabila cuba mempertahankan tindakan Kerajaan Persekutuan dalam isu tersebut.

“ _Back up_ yang awalnya kelihatan cantik tapi tersasar kefahaman amat mengecewakan. Ramai pihak yang berkepakaran mampu menasihati beliau secara lebih berhemah.

“Anak muda hari ini lebih terbuka dengan maklumat dan mereka mampu menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan hak negeri,” ujarnya memberi ingatan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Kelantan menyeru seluruh anak muda tanpa mengira latar politik untuk bersama kerajaan negeri mempertahankan hak REE yang menjadi milik Kelantan.

“Jangan benarkan buli politik membasahkan bumi Kelantan dengan air mata rakyat akhirnya. Anak muda perlu bersedia dan menantikan langkah kerajaan negeri seterusnya.

“Dalam isu ini, kita tekan butang siap sedia dan pastikan suara rakyat terus dipertahankan,” serunya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -