‘Rumah Hijau’ jadi ikon baharu warisan negeri Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang dan Rumah Kelahiran Tuanku Raja Perlis (Rumah Hijau).

- Advertisement -

Program dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) antara inisiatif memperkasa fungsi muzium sebagai ruang hidup rakyat, bukan sekadar tempat pameran, tetapi medan mendekatkan masyarakat dengan warisan, sejarah dan tamadun bangsa.

Inisiatif ini turut menyokong aspirasi KPN untuk membina Negara Bangsa melalui pemahaman sejarah, pengukuhan identiti nasional dan pembentukan jati diri rakyat.

Pelbagai pendekatan kreatif diperkenalkan dalam fiesta ini bagi menjadikan muzium lebih interaktif, mesra keluarga serta menjadi pusat pembelajaran dan interaksi sosial dalam suasana terbuka dan inklusif.

Turut berangkat sama, Tengku Puteri Mahkota Perlis, Dato’ Seri Datin Paduka Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada majlis yang berlangsung di Muzium Kota Kayang, di sini Sabtu lalu.

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Raja Perlis berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang, yang turut diserikan dengan Perasmian Rumah Hijau, iaitu Rumah Kelahiran Tuanku Raja Perlis.

Rumah bersejarah ini asalnya terletak di Arau, dan kini dipindahkan ke pekarangan Muzium Kota Kayang sebagai lambang warisan diraja yang bernilai tinggi kepada negeri Perlis.

Langkah ini menggambarkan usaha bersama Jabatan Muzium Malaysia dan Kerajaan Negeri Perlis dalam memelihara nilai sejarah serta memperkukuh identiti negeri.

Selesai upacara perasmian, Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis berkenan melawat khemah pameran dan Rumah Hijau, yang mempamerkan pelbagai artifak serta bahan sejarah bernilai tinggi.

Fiesta ini bukan sekadar acara budaya, tetapi juga wadah memperkukuh semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum, di samping menzahirkan kesungguhan semua pihak dalam memartabatkan warisan negeri Perlis sebagai lambang jati diri dan identiti bangsa. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -