
BALING: Kerajaan Negeri Kedah giat mengangkat martabat Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) agar berkembang pesat serta berperanan sebagai pusat pendidikan utama di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa fasiliti baharu sedang dibangunkan di UniSHAMS termasuk masjid, dewan Pusat Islam universiti serta blok asrama yang mampu menampung seramai 2,360 orang pelajar.
“Dengan lengkapnya kampus induk ini, saya yakin ibu bapa, para waris, para graduan tentulah tidak akan meninggalkan kampus ini begitu sahaja sebelum menamatkan pengajian di peringkat sarjana sehingga PhD, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Haminah, Kuala Ketil, di sini semalam.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya bersama jawatankuasa dalam Lembaga Pengelola dan Lembaga Pengurusan Universiti memerah otak mengumpulkan segala kebijakan untuk memastikan fasa pertama yang dilengkapi masjid dan asrama akan siap di zaman saya ini, insya-Allah,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar generasi selepas ini meneruskan kesinambungan pembinaan fasiliti universiti supaya dapat memberi lebih banyak manfaat kepada negeri dan rakyat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada para pensyarah dan pentadbir universiti yang bertungkus-lumus untuk menghidupkan tanah gersang ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan pesat UniSHAMS adalah kesinambungan usaha dan kesungguhan telah diasaskan mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Allahyarham telah memberikan komitmen penuh untuk meletakkan asas kampus induk universiti ini dan dikenang sebagai tokoh yang menzahirkan visi besar untuk melihat UniSHAMS muncul sebagai pusat pendidikan Islam terulung di rantau Asia.
Segala usaha dan pengorbanan beliau menjadi legasi yang terus mengalir dalam perjalanan kecemerlangan UniSHAMS hari ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala kekhilafan, meluaskan kuburnya, serta menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Aamiin,” ujar Sanusi.
Dalam perkembangan membanggakan, UniSHAMS kini berada di kedudukan ke-203 universiti terbaik di Asia Tenggara berdasarkan penarafan QS World University Ranking: Asia 2026.
Selain itu, universiti ini turut mencatat pencapaian di peringkat global apabila tersenarai dalam julat 1,301–1,400 daripada lebih 10,000 institusi pendidikan di seluruh dunia dalam QS World Ranking.
Majlis Konvokesyen kali ke-27 (sidang keempat) itu turut menyaksikan Dato’ Seri Muhammad Sanusi menyempurnakan penganugerahan kepada para graduan. – HARAKAHDAILY 4/11/2025













