Kejohanan Ironman gamit atlet dunia ke Langkawi

- Advertisement -

LANGKAWI: Kejohanan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2025 berlangsung penuh semangat apabila seramai 1,888 atlet dari 68 negara berentap menguji ketahanan diri dalam disiplin renang, berbasikal dan larian di sekitar pulau legenda ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin yang menyempurnakan pelepasan peserta turut menyatakan rasa bangga terhadap penganjuran edisi ke-10 kejohanan bertaraf dunia itu.

“Langkawi sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai tuan rumah acara sukan antarabangsa yang bukan sahaja menguji fizikal dan mental atlet, tetapi turut memperkukuh imej pulau ini sebagai destinasi pelancongan sukan terbaik di rantau ini,” katanya.

Kejohanan kali ini menyaksikan penyertaan hebat atlet profesional dan amatur, menjadikan pertandingan lebih kompetitif dan berprestij yang berlangsung di Pantai Kok, di sini kelmarin.

Antara menarik perhatian ialah penyertaan daripada dua bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyahut cabaran dalam bertanding dalam Ironman 70.3 Langkawi dan Ironman Malaysia.

Menurut Mohd Salleh, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa seperti ini bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan, malah membuka peluang besar kepada usahawan tempatan untuk menjana ekonomi melalui penglibatan dalam sektor hospitaliti, logistik dan perkhidmatan sokongan.

Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi tahun ini juga menjadi medan kelayakan rasmi ke dua kejohanan utama dunia iaitu Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii pada 10 Oktober 2026, serta Ironman 70.3 World Championship di Nice, Perancis pada 12–13 September 2026.

“Dengan pengiktirafan ini, Langkawi terus memperkukuh kedudukannya di peta dunia sebagai lokasi sukan lasak antarabangsa yang unggul dan menjadi pilihan atlet global,” ujar beliau lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan.

Dato’ Mohd Salleh menegaskan, kerajaan negeri akan terus menyokong dan memperkukuh penganjuran acara berskala besar seperti ini dalam usaha menjadikan Langkawi bukan sahaja ikon pelancongan, tetapi juga pusat kecemerlangan sukan lasak antarabangsa. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -