Cakna Rakyat hidup semula adat, identiti Melayu-Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menyifatkan penganjuran Karnival Cakna Rakyat tahun ini sebagai paling meriah dan berjaya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

- Advertisement -

Menurut beliau, laporan media di peringkat DUN kali ini menunjukkan usaha yang lebih padu daripada semua pihak hingga berjaya melahirkan imej positif kepada wakil rakyat dan masyarakat setempat.

“Kita dapat bangkitkan satu perasaan bersama untuk bekerja hingga program ini berjaya dengan baik walaupun peruntukan yang diberikan hanya RM20,000 bagi setiap DUN, namun hasil usaha dan kerjasama di peringkat kawasan menjadikan nilainya jauh lebih besar daripada itu.

“Kita juga sedar ada yang berbelanja lebih berbanding peruntukan diberi hingga berjaya mempamerkan program Cakna Rakyat begitu baik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Karnival Cakna Rakyat 2025 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurut Fadzli, karnival yang dianjurkan di peringkat kerajaan negeri itu juga menjadi wadah menyemai semangat perpaduan dan kerjasama tanpa mengira latar belakang politik.

“Program ini tidak terikat dengan mana-mana parti, tetapi menonjolkan kebersamaan rakyat. Apabila semangat itu wujud, semua peringkat masyarakat tidak kekok untuk hadir dan bersama-sama menjayakannya,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan pentingnya masyarakat menghidupkan semula adat dan identiti Melayu-Islam yang indah serta tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, adat orang Melayu dahulu penuh makna dan hikmah, walaupun ketika itu belum ada tudung khusus, namun mereka menutup aurat dengan sempurna dan konsisten dengan ajaran Islam.

“Tidak salah untuk kita hidupkan semula tradisi orang Melayu yang menarik, sopan dan beradab, selagi ia selari dengan syariat,” ujar beliau.

Fadzli berkata, nilai kemelayuan dan kesopanan itu perlu ditonjolkan semula terutama dalam kalangan wanita Muslimah agar identiti Islam dapat dilihat dengan lebih jelas dan bermaruah.

“Orang Melayu dahulu berpakaian dengan penuh makna, menunjukkan nilai yang tinggi. Kita mahu hidupkan semula identiti itu sehingga menjadi Muslimah yang sopan, manis dipandang dan berakhlak mulia,” katanya.

Tambah beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dalam konteks lebih luas, Cakna Rakyat bukan sekadar program kebajikan, tetapi wadah membina ummah.

Menurutnya, Cakna Rakyat ini dipilih untuk satukan keluarga di peringkat DUN, dengan mengambil tahu hal rakyat di tempat masing-masing kerana mahu ubah struktur pemikiran daripada cakna rakyat kepada membina ummah.

Beliau turut menyeru semua pihak agar melihat tanggungjawab terhadap masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha dakwah kerana Kelantan negeri beragama, menjadi ia tanggungjawab bersama menghadapi cabaran.

“Kita kena letakkan dakwah di hadapan, bermula dengan keluarga sendiri, anak-anak kita, sebelum orang lain,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa puas hati terhadap sambutan luar biasa rakyat terhadap penganjuran Karnival Cakna Rakyat kali ini yang berjaya menampilkan imej masyarakat Kelantan yang bersatu, berakhlak dan beragama. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -