
GOMBAK: Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Oman terus diperkukuh melalui penganjuran Al-Multaqa Al-Omani yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.
Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut bukan sekadar medan perkongsian ilmu, tetapi turut menjadi jambatan penting mempererat hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Program ini menjadi wadah memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan budaya antara Malaysia serta Oman, sekali gus menguatkan lagi hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara. Ia juga membuka ruang kerjasama yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
“Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur atas penganjuran majlis yang penuh bererti ini. Semoga usaha sebegini terus memperkukuh jaringan keilmuan dan diplomasi antara negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya selepas menyertai jemputan khas daripada penganjur ke program berkenaan, semalam.
Untuk rekod, Al-Multaqa Al-Omani yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Waqaf Oman dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), telah memasuki edisi kesembilan penganjurannya tahun ini.
Program tahunan itu juga bertujuan memperkenalkan budaya masyarakat Arab Islam Kesultanan Oman yang memiliki identiti tersendiri, di samping memperluas kerjasama dalam bidang akademik dan kebudayaan.
Kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran PAS turut mempunyai hubungan rapat dengan Oman melalui pelbagai inisiatif, antaranya Terengganu International Summit yang mula dianjurkan pada tahun 2023.
Tokoh ulama tersohor, Syeikh Ahmad Saud al-Siyabi yang juga Setiausaha Dar Ifta’ Oman, menjadi antara tetamu tetap menyampaikan ceramah dan ucaptama dalam program berkenaan.
Selain itu, hubungan antara kedua-dua pihak turut diperkukuh melalui kerjasama pelaburan antara Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Terengganu dan Oman dalam sektor petroleum.
Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berharap, hubungan terjalin itu akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh jaringan keilmuan, ekonomi dan budaya antara Malaysia serta Oman.
“Hubungan ini akan sentiasa diperkasakan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/10/2025











