
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim mendesak kerajaan menangguhkan pengesahan perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sehingga satu penilaian menyeluruh terhadap kesannya dibuat, khususnya terhadap kedaulatan negara dan dasar ekonomi Bumiputera.
Beliau berkata, beberapa peruntukan dalam perjanjian itu, terutama Artikel 5.1 dan Artikel 6.2, menimbulkan kebimbangan yang berpotensi menjejaskan kebebasan Malaysia menentukan dasar sendiri serta melemahkan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa ekonomi tempatan.
Menurutnya, berbeza dengan perjanjian perdagangan AS–Kemboja menunjukkan Malaysia seolah-olah telah mengabaikan frasa penting berkaitan kedaulatan negara, apabila istilah ‘sovereign interests’ digugurkan daripada teks perjanjian.
“Tanpa sebutan mengenai kedaulatan, Malaysia kini terikat untuk mengambil langkah setara dengan AS walaupun mungkin bercanggah dengan kepentingan nasional sendiri.
“Ia satu kegagalan diplomasi yang memalukan seolah-olah kerajaan Madani lebih rela tunduk kepada tekanan kuasa besar berbanding mempertahankan prinsip kemerdekaan negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambah Amzad, Artikel 6.2 pula mewajibkan GLC bertindak atas dasar komersial semata-mata dan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan dari AS, sekali gus menggugat dasar mengutamakan vendor tempatan atau Bumiputera.
“Ini bermakna, dasar mengutamakan vendor tempatan atau Bumiputera boleh dianggap sebagai pelanggaran perjanjian. Tambahan pula, kerajaan dilarang memberi bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC kecuali untuk tujuan perkhidmatan awam.
“Peruntukan ini bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan Dasar Ekonomi Bumiputera. GLC dan GLIC bukan sekadar entiti perniagaan tetapi instrumen dasar negara bagi memperkasa ekonomi tempatan, membina daya saing industri strategik dan melindungi kepentingan nasional.
“Sekiranya autonomi mereka dihadkan oleh tekanan perjanjian antarabangsa, maka kerajaan sebenarnya sedang menyerahkan kuasa ekonomi negara kepada pengaruh asing,” jelasnya.
Beliau berpandangan, perjanjian itu ditandatangani secara tergesa-gesa tanpa rundingan menyeluruh dengan pakar undang-undang, industri, dan kumpulan ekonomi Bumiputera.
“Malaysia tidak menolak perdagangan antarabangsa, namun ia mestilah berasaskan kepada prinsip saling menghormati dan bukannya dalam bentuk penyerahan kuasa.
“Sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, saya menegaskan bahawa perdagangan tanpa maruah bukanlah sebuah kemajuan tetapi satu bentuk pengorbanan yang sia-sia. Kedaulatan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan melebihi segala bentuk tekanan politik atau ekonomi dari luar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/10/2025











