Wujudkan sokongan kurangkan kos pembantu rumah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kos tinggi untuk mendapatkan pembantu rumah bagi membantu wanita bekerja dibangkitkan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) ketika mencelah sesi penggulungan perbahasan Bajet 2026 peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat petang ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan keperluan kerajaan mewujudkan dasar dan sistem sokongan yang lebih berkesan bagi meringankan beban pasangan bekerja, khususnya keluarga yang mempunyai anak kecil dan tanggungan yang perlu dijaga.

Menjawab perkara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengakui bahawa setakat ini belum terdapat dasar serta sistem sokongan yang komprehensif untuk membantu golongan tersebut, memandangkan kos mendapatkan pembantu rumah masih terlalu tinggi.

Sebelum ini, laporan media menyebut bahawa kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah antara RM12,000 hingga RM18,000 disebabkan urusan melalui ejen serta pelbagai caj tersembunyi yang menambah beban majikan.

Kerajaan pernah memperkenalkan mekanisme dalam talian dengan bayaran hanya RM1,635 untuk pengambilan pembantu rumah asing, memberikan penjimatan sehingga 90 peratus berbanding kadar biasa, namun ia tidak termasuk kos penerbangan dan dokumen perjalanan.

Sementara itu, laporan lain turut menyatakan bahawa kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ditetapkan sehingga RM15,000, yang dianggap terlalu tinggi oleh agensi pekerjaan kerana sebahagian besar bayaran perlu dibuat kepada agensi di negara asal. – HARAKAHDAILY 3/11/2025

- Advertisement -