
KUALA LUMPUR: Isu kelewatan bayaran insentif kepada pesawah kembali dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini apabila Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar), mencelah semasa penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 peringkat dasar oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau mempersoalkan status bayaran tambahan RM60 bagi setiap pesawah yang masih belum diterima, walaupun insentif tersebut telah diumumkan dalam Bajet 2025 dengan kenaikan daripada RM100 kepada RM160 bagi setiap pusingan tanaman.
Misbahul Munir turut mengajukan pertanyaan mengenai insentif baja dan racun yang didakwa masih lewat disalurkan.
Menjawab pertanyaan itu, Mohamad Sabu memaklumkan bahawa kerajaan sedang mengambil tindakan, namun jawapan terperinci akan diberikan secara bertulis kepada Dewan.
Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan pemberian insentif tersebut.
Dalam kenyataannya kepada media pada 31 Julai 2025, PeSAWAH mendakwa ramai pesawah masih belum menerima bayaran insentif pembajakan dan penuaian walaupun kerajaan telah memberi jaminan sebelum ini.
Kelewatan bayaran bukan sahaja menjejaskan aliran tunai pesawah, malah turut menekan mereka yang perlu menanggung kenaikan harga baja, racun dan sewa jentera.
Ramai menggesa kerajaan agar memperkemas mekanisme penyampaian bantuan supaya ia tidak lagi tertangguh dan benar-benar sampai kepada golongan sasar tepat pada masanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2025











