
PENDAHULUAN
Pada bulan ini sahaja kita melihat beberapa sidang kemuncak antarabangsa di sebelah Asia seperti Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak APEC. ASEAN dan APEC adalah sebahagian daripada forum yang menemukan pemimpin negara-negara dunia untuk membincangkan isu-isu tertentu berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial. Terdapat banyak lagi forum-forum yang seumpama ini di rantau-rantau dunia lain seperti Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) dan Kesatuan Afrika (AU).
Bagi ASEAN sendiri, semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2015, usul untuk mewujudkan Komuniti ASEAN telah dicadangkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2015. Komuniti ASEAN ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan, ke arah penubuhan satu entiti kewilayahan dianggotai pelbagai negara sepertimana Kesatua Eropah (EU). Kecenderungan untuk menubuhkan entiti kewilayahan seperti inilah dimaksudkan sebagai arus Super Nasionalisme.
Sejarah kewujudan negara bangsa
Sukar untuk menentukan tarikh yang tepat bilakah mula tertubuhnya sebuah Negara Bangsa (Nation State) terawal di dalam dunia hari ini. Sekiranya dilihat kepada munculnya gagasan konsep Negara Bangsa ini, tokoh falsafah Perancis, Jacques Rousseau, adalah antara tokoh pemikir yang terawal menghuraikannya. Begitu juga, kemunculan Negara Bangsa di Eropah adalah bermula selepas runtuhnya empayar-empayar di benua tersebut. Boleh disimpulkan, kemunculan Negara Bangsa berlaku selepas Revolusi Perancis.
Negara Bangsa adalah sesebuah negara berdaulat yang ditubuhkan berasaskan politik dan budaya sesebuah bangsa tertentu. Lazimnya, sesebuah bangsa itu merujuk kepada sekumpulan masyarakat manusia yang mempunyai bahasa, budaya atau sejarah yang sama, meskipun mungkin berbeza dari segi puak atau suku. Boleh jadi juga, persamaan itu diperluaskan lagi berdasarkan kepercayaan yang sama. Yang jelas, sesebuah Negara Bangsa bukan lagi sebuah wilayah pemerintahan yang beragam kebangsaannya.
Diyakini, benua Eropah adalah tempat terawal munculnya beberapa Negara Bangsa, seperti Perancis, Jerman, England, Belanda dan lain-lain. Disebabkan masyarakat Eropah pada kurun ke-17 hinggalah kurun ke-20, adalah kuasa-kuasa penjajah yang utama, konsep Negara Bangsa ini diterapkan kepada tanah-tanah jajahan apabila mereka dimerdekakan. Pada kurun ke-20, wujudlah banyak Negara-negara Bangsa di benua-benua yang lain seperti di Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
Dampak negara bangsa ke atas dunia Islam
Dunia Islam yang sebelumnya bernaung di bawah pemerintahan bercorak empayar dan kesultanan, adalah antara yang paling terkesan dengan kewujudan Negara Bangsa ini. Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan oleh penjajah-penjajah Eropah kepada wilayah-wilayah yang lebih kecil, sehingga ke peringkat sebuah masyarakat manusia yang serumpun pun dipecah-pecahkan seumpama Malaysia, Brunei dan Indonesia. Demikian juga dengan masyarakat Arab dipecah-pecahkan kepada negara-negara kecil.
Dampak kewujudan Negara Bangsa di Dunia Islam ini juga telah mempengaruhi pandangan-pandangan ulama berkaitan dengan Fiqh al-Siyasah atau al-Ahkam al-Sultaniyah. Konsep Dar al-Islam atau Bumi Islam yang dikupas oleh para ulama era Bani Abbasiyah, mula dikonsepkan semula menjadi Daulah Islamiyah atau Negara Islam. Demikian juga konsep Jamaah Muslimin atau Ummah, dikonsepkan semula menjadi Jamaah Minal Muslimin atau warganegara sesebuah negara tertentu.
Yang paling jelas, kewujudan Negara-negara Bangsa di Dunia Islam telah melemahkan kekuatan Ummah. Kesatuan Ummah telah dirobek-robekkan dengan semangat kebangsaan yang sempit sehingga ke satu tahap berlakunya peperangan sesama negara umat Islam. Daripada sebuah kuasa yang digeruni dan dihormati sejak zaman pemerintahan Rasulullah SAW, umat Islam hari ini menjadi mangsa kezaliman dan pelecehan oleh kuasa-kuasa penjajah dan kuasa imperalisme pada masa kini.
Kemunculan semula super nasionalisme
Benua yang menyaksikan kemunculan awal Negara Bangsa, iaitu benua Eropah, benua itulah pada masa kini membawa semula arus Super Nasionalisme. Masyarakat Eropah yang sebelum ini dipecah-pecahkan mengikut kebangsaan masing-masing, hari ini telah disatukan semula di bawah EU. EU yang ditubuhkan pada tahun 1993, dianggotai oleh 27 negara, kini muncul sebagai satu kuasa politik, ekonomi dan sosial yang kuat menyaingi Amerika Syarikat (US). Pengaruh EU ini telah mula meresap ke wilayah-wilayah dunia yang lain.
Pada masa kini, jelas sekali EU menjadi pesaing sengit kepada US. Dari segi saiz ekonomi (GDP Nominal), EU berada di kedudukan kedua selepas US, dengan GDP USD 19.4 trillion. Sekiranya mengambil kira GDP United Kingdom yang telah keluar dari EU dan Turkeye yang pernah memohon memasuki EU, GDP nya boleh mencecah USD 25 trillion. Dengan potensi seperti ini, EU sememangnya berpotensi memotong US berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara-negara angggotanya.
Entiti Super Nasionalisme seperti EU ini menjadi kuat apabila negara-negara anggota sanggup melonggarkan beberapa kepentingan kebangsaan mereka seperti perkongsian matawang yang sama, perdagangan merentasi sempadan-sempadan negara, pergerakan pasaran buruh yang bebas dan lain-lain lagi. Menyedari hakikat tersebut, hari ini Super Nasionalisme dilihat sebagai sebuah kekuatan baru berbanding dengan nasionalisme sesuatu Negara Bangsa yang sempit.
Kesimpulan
Ramai pengkaji politik memperakui kekuatan US sebagai sebuah kuasa besar adalah bersumberkan kepada Super Nasionalisme. US yang terdiri daripada 50 negeri, adalah antara contoh sebuah negara Super Nasionalisme yang ada pada masa kini. Sebagaimana Soviet Union (sekarang Russia) yang berpecah pada tahun 1992 menjadi lemah, demikian jugalah US boleh menjadi lemah sekiranya 50 negeri di dalam US berpecah-pecah. Jelas sekali, Super Nasionalisme adalah sumber kekuatan bagi sesuatu kuasa politik.
Dunia Islam yang terdiri daripada 57 buah negara, berasaskan keahlian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Dasar dan amalan politik Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadith jelas sekali menyuruh kepada Super Nasionalisme. Juga terbukti, umat Islam menjadi lemah apabila mereka dibahagi-bahagikan kepada Negara-negara Bangsa berfahaman Nasionalisme sempit. Ketika arus Super Nasionalisme kembali mempengaruhi politik dunia, mungkinkah terbentuk semula sebuah kuasa politik Super Nasionalisme Islam?
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Centre for Civilisational Politics – HARAKAHDAILY 3/11/2025











