Ramai keluar dari kemiskinan menjadi miskin semula

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kemiskinan sebenar perlu diukur melalui kadar keluar daripada kemiskinan, bukan sekadar angka penerima bantuan, tegas Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) ketika sesi Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Beliau menegaskan bahawa realiti di lapangan menunjukkan ramai yang keluar daripada kemiskinan hanya kerana menerima bantuan bulanan, namun akhirnya kembali miskin apabila pekerjaan atau sumber pendapatan mereka terjejas.

“Yang penting bukan berapa ramai miskin, tetapi berapa ramai yang benar-benar keluar daripada kemiskinan. Ramai yang sementara sahaja keluar kerana bantuan, tetapi akhirnya kembali miskin apabila keadaan ekonomi berubah,” katanya.

Abdul Latiff turut mempersoalkan mengapa sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak digunakan secara menyeluruh dalam pengurusan bantuan kerajaan, sedangkan ia dibangunkan dengan kos tinggi dan diuar-uarkan sebagai sistem asas kepada dasar-dasar berkaitan kemiskinan serta bantuan sosial.

Menjawab persoalan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa bantuan semata-mata bukan penyelesaian mutlak kepada isu kemiskinan.

“Kerajaan sedar bantuan bukan jalan keluar yang kekal. Kita akan terus mencari ikhtiar terbaik untuk memastikan penyelesaian sebenar kepada masalah kemiskinan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menjawab soalan kedua sesi PMQT yang diajukan oleh Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN–Kuala Kangsar) mengenai kemajuan kerajaan Madani dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 30/10/2025

- Advertisement -