
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas sesi Prime Minister’s Question Time (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini yang disifatkan lebih sebagai ‘pentas tepuk tangan’ untuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada ruang sebenar bagi Ahli Parlimen menyoal dasar kerajaan.
Dalam hantaran di media sosialnya, beliau berkata, rakyat dan pembangkang menantikan jawapan Dato’ Seri Anwar mengenai isu perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat, namun suasana sesi itu lebih menyerupai majlis pujian terhadap kerajaan sendiri.
“Soalan pertama diberikan kepada Ahli Parlimen Pulai dari kerajaan, soalan kedua pula Muar — bebas yang mesra kerajaan, siap puji Perdana Menteri lagi. Soalan ketiga Ledang, pun dari kerajaan. Yang keempat barulah diberikan kepada Machang — barulah ada soalan sebenar, bukan soalan bodek,” tulisnya.
Tambah beliau, ketika itulah baharu Perdana Menteri dilihat ‘tergagap-gagap’ menjawab apabila Ahli Parlimen Machang menyoal secara terperinci tentang kandungan perjanjian tersebut, namun tiada jawapan konkrit diberikan.
“Kalau beginilah rupa ‘ketelusan’ kerajaan dalam PMQT, nampak gayanya perjanjian ini hanya difahami oleh pihak Amerika, yang kita pula cuma dapat selfie, sebatang pen dan naik kereta bersama presiden,” sindirnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Terdahulu, sesi PMQT hari ini turut menyaksikan soalan utama dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, manakala daripada empat soalan tambahan yang dibenarkan oleh Tan Sri Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hanya satu diberikan kepada pembangkang daripada blok Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 30/10/2025











