Projek air bawah tanah: Kaji kaedah lebih berpatutan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu bekalan air di Padang Mat Sirat, Langkawi mendapat perhatian di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mencelah ketika sesi penggulungan perbahasan Bajet 2026 peringkat dasar oleh Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof.

- Advertisement -

Ahmad Tarmizi meminta penjelasan berhubung peruntukan RM400 juta yang diumumkan bagi projek air bawah tanah di kawasan tersebut, memandangkan tiada perincian khusus mengenainya dalam Buku Anggaran Persekutuan, termasuk sama ada ia melibatkan pembinaan telaga atau sistem rawatan air.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada projek itu telah dikaji dari sudut kelestarian, mengambil kira pengalaman negara-negara lain yang berdepan masalah pencemaran sumber air bawah tanah sehingga menjadikannya tidak sesuai untuk kegunaan domestik.

Menjawab persoalan itu, Datuk Seri Fadillah menjelaskan bahawa projek bekalan air di Langkawi kini melibatkan sambungan paip dari tanah besar bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada penduduk pulau berkenaan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan sedang menjalankan kajian bagi menilai potensi sumber air bawah tanah serta teknologi baharu yang sesuai digunakan di Malaysia.

“Kita sedang meneliti beberapa kaedah termasuk teknologi dari China yang pernah digunakan bagi tujuan sama, namun kos pemprosesannya agak tinggi. Oleh itu, kementerian sedang menilai alternatif lain yang lebih berpatutan supaya bekalan air kepada rakyat tidak membebankan,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa jawapan terperinci berhubung perkara itu akan diberikan secara bertulis kepada Ahmad Tarmizi. – HARAKAHDAILY 29/10/2025

- Advertisement -