Sekolah jadi padang propaganda parti: PAS kecam DAP

- Advertisement -

IPOH: PAS Negeri Perak mengecam pendedahan tular mengenai tindakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, Woo Kah Leong, yang difahamkan menyalurkan propaganda serta ideologi politik DAP kepada pelajar di dalam premis sekolah.

- Advertisement -

​Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Khalil Yahaya berkata, perbuatan itu sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab yang menceroboh kesucian institusi pendidikan.

​”Sekolah sepatutnya menjadi tempat pemangkin ilmu dan pembentukan karakter anak bangsa, bukan sebaliknya, dijadikan medan indoktrinasi politik parti oleh wakil-wakil Kerajaan Perpaduan.

​”Rakyat sedang memerhati bahawa di bawah pentadbiran hari ini, situasi negara semakin tidak menentu dan meruncing,” katanya menyifatkan insiden memalukan itu menjelaskan krisis etika dan kegagalan pendidikan karakter di bawah Kerajaan Madani.

​Menurutnya, ia boleh disimpulkan kepada tiga isu kritikal, bermula dengan pengabaian teras pendidikan oleh kerajaan, di mana ketika Menteri Pendidikan dari PKR gagal melindungi kebajikan pelajar dan guru, sekutu mereka DAP pula memanfaatkan kelemahan sistem untuk menyusup masuk agenda politik.

​”Keduanya, tindakan Woo Kah Leong menggunakan jawatan rasmi beliau sebagai Exco kerajaan negeri dan pemimpin Pemuda DAP untuk mempengaruhi minda pelajar yang masih mentah adalah satu perbuatan keterlaluan dan mencemarkan amanah awam.

​”Ia adalah contoh jelas penyalahgunaan kuasa demi kepentingan politik jangka pendek,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah.

​Isu ketiga, tambah beliau, ialah penggadaian prinsip berkecuali institusi sekolah yang sepatutnya kekal neutral bagi melahirkan generasi kritis dan objektif.

​”Memasukkan ‘dakyah DAP’ di sekolah bukan sahaja merosakkan peranan pendidikan, malah menghakis nilai moral anak-anak kita,” katanya.

​PAS Perak menyifatkan tindakan itu sebagai kemuncak sikap kurang ajar sebahagian pemimpin Pakatan Harapan yang merasakan mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan norma bernegara.

​”PAS Perak juga melihat perbuatan ini sebagai usaha untuk mencairkan sempadan etika antara politik dan pendidikan, yang mana akhirnya hanya akan merosakkan masa depan anak-anak kita,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2025

- Advertisement -