
KUALA LUMPUR: Ustaz Hassan Saad (PN-Baling) menegaskan bahawa institusi pendidikan mesti bebas daripada segala bentuk ancaman dan gangguan bagi menjamin keselamatan serta maruah anak bangsa.
Beliau menekankan pentingnya pendidikan sebagai benteng moral dan keselamatan generasi muda, bukan sekadar pengajaran ilmu, tetapi benteng maruah dan keselamatan anak-anak.
Bekas pendidik berpengalaman itu berkata, isu keselamatan di sekolah bukan lagi perkara kecil apabila kes buli, gangguan seksual dan jenayah yang melibatkan pelajar semakin meningkat.
“Kita lihat wujud kelompangan serius dalam ekosistem perlindungan pelajar dan guru,” katanya sambil mencadangkan agar hukuman rotan dikembalikan sebagai langkah pendidikan dan disiplin.
Menurut beliau, rotan bukan satu bentuk penyeksaan, sebaliknya satu didikan berteraskan sunnah Nabi SAW, dan meninggalkannya hanya membuka ruang kepada pelbagai masalah sosial yang sukar dibendung.
Menyentuh isu pertanian dan keterjaminan makanan, Hassan menegaskan bahawa Kedah sebagai Jelapang Padi Negara perlu menerima keutamaan dalam pengagihan peruntukan.
Daripada RM8.87 bilion peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan katanya, Kedah yang menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran beras nasional masih berdepan pelbagai cabaran.
Beliau menyenaraikan masalah berkaitan yang dihadapi pesawah di Kedah termasuk sistem pengairan usang, kekurangan benih sah, serangan penyakit tanaman dan peningkatan kos input.
“Kerajaan tidak boleh bercakap tentang ‘food security’ di peringkat nasional tanpa terlebih dahulu menjamin ‘rice security’ di Kedah,” tegasnya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Beliau turut menggesa agar peruntukan RM300 juta antara Kerajaan Persekutuan dan negeri disalurkan untuk mengaktifkan tanah-tanah terbiar di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan bukan MADA bagi tanaman alternatif seperti padi wangi, sayuran bernilai tinggi dan tanaman makanan ternakan.
Hassan menambah bahawa Kedah dan Kelantan juga memerlukan sokongan logistik yang lebih baik agar rantaian pengeluaran makanan lebih efisien.
Dalam perbahasan sama, Hassan turut mempersoalkan kenapa projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) tidak disentuh dalam Belanjawan 2026 sedangkan keperluan infrastruktur di wilayah utara masih tertinggal.
Beliau menegaskan, laluan Baling-Gerik-Jeli yang sempit dan berisiko tinggi wajar dinaik taraf kerana ia merupakan nadi utama aktiviti pertanian, perdagangan kecil dan pelancongan.
“Kita tidak mahu pembangunan hanya tertumpu di kawasan penduduk padat. Wilayah berpotensi seperti Baling juga berhak menikmati pembangunan seimbang,” katanya.
Hassan mencadangkan kerajaan membuat kajian kebolehlaksanaan Lebuhraya Gerik-Baling-Jeli sebagai sebahagian daripada rangka kerja nasional perhubungan Timur-Barat.
Beliau turut mencadangkan pelebaran jalan dari Simpang Pekan Malau ke Kampung Badang yang sering sesak terutama hujung minggu apabila ramai pelancong menuju ke kawasan rekreasi Bukit Hijau.
Hassan turut menyentuh sektor perladangan, khususnya industri kenaf dan getah yang menjadi sumber ekonomi utama luar bandar di Kedah.
Katanya, Baling perlu diiktiraf sebagai kluster kenaf rasmi di Utara Semenanjung kerana mempunyai tanah subur, tenaga kerja luar bandar yang ramai dan pengalaman luas dalam tanaman getah.
“Integrasi kenaf dan getah muda boleh memperbagaikan pendapatan pekebun kecil serta menyokong industri bio-komposit dan makanan ternakan,” katanya.
Hassan memohon agar kerajaan mempercepatkan penubuhan Institusi Pendidikan TVET di daerah Baling yang sudah pun mempunyai tapak disediakan.
Selain itu, beliau menegaskan keperluan segera membina Klinik Kesihatan Bandar Baling berikutan kesesakan luar biasa di hospital dan klinik sedia ada, menyebabkan rakyat terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk rawatan.
Hassan menegaskan bahawa semua isu yang dibangkitkan daripada keselamatan pendidikan, pertanian, infrastruktur hingga komoditi berpaksikan kepada keadilan dalam pengagihan pembangunan.
“Kedah, khususnya Baling, bukan meminta simpati tetapi menuntut perhatian yang seimbang. Belanjawan mesti diterjemah menjadi peluang, perlindungan dan kemajuan nyata di sekolah, di sawah, di ladang dan di jalan raya.
“Jika setiap kementerian benar-benar menjiwai semangat ini, maka bukan sahaja ekonomi dapat dibina tetapi negara yang adil dan berkat juga akan tertegak,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2025











