
KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) menegaskan kerajaan perlu mengagihkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen secara adil tanpa mengira parti politik bagi memastikan khidmat kepada rakyat tidak terjejas.
Beliau mendedahkan bahawa Ahli Parlimen kerajaan kini menerima sebanyak RM1.8 juta setahun untuk pusat khidmat dan RM2 juta bagi sumbangan lain, menjadikan jumlah keseluruhan RM11.8 juta setakat hari ini.
“Kerajaan kini berhutang dengan kami sebanyak RM11.8 juta setakat ini,” tegasnya ketika mengambil bahagian membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Ucapan beliau bagaimanapun diganggu oleh Chong Zhemin (PH–Kampar) yang mendakwa kenyataan itu boleh mengelirukan dewan, namun Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang menjalankan tugas sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan bahawa kenyataan tersebut tidak mengelirukan dewan.
Dato’ Seri Shahidan turut menegaskan bahawa ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan menyebabkan wakil rakyat pembangkang terpaksa berdepan kekangan untuk menyalurkan bantuan dan melaksanakan program kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau menyeru kerajaan supaya menghentikan diskriminasi politik dalam penyaluran dana awam dan memastikan semua kawasan Parlimen mendapat manfaat yang sama, selaras dengan prinsip demokrasi dan keadilan kepada rakyat.
Isu pengagihan peruntukan Ahli Parlimen atau Constituency Development Fund (CDF) bukan perkara baharu dalam politik negara. Dana ini bertujuan membantu wakil rakyat melaksanakan projek kecil, program komuniti serta menyantuni keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Namun, sejak sekian lama, dana tersebut tidak diagihkan secara seragam antara wakil kerajaan dan pembangkang.
Beberapa kajian oleh badan bebas seperti Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Bersih turut mengkritik ketidaktelusan serta ketidakseimbangan dalam pemberian peruntukan ini, yang didakwa membuka ruang kepada politik patronage dan menjejaskan prinsip kebertanggungjawaban wakil rakyat.
Lebih menarik, dalam manifesto “Kita Boleh” yang dibentangkan Pakatan Harapan sebelum PRU15, gabungan itu berjanji akan memastikan peruntukan Ahli Parlimen diagihkan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti, bagi mewujudkan budaya politik yang matang dan adil.
Namun sehingga kini, janji tersebut masih belum dilaksanakan sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2025











