
KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamuddin (PN-Alor Setar) mempersoalkan tindakan kerajaan yang disifatkannya ‘melampau gembira’ menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia baru-baru ini tanpa memikirkan sensitiviti rakyat terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza yang disokong kuat oleh negara itu.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS berkata, sambutan besar-besaran diberikan seolah-olah menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa serangan, sedangkan Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang lantang memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan antarabangsa.
“Obama datang ke Malaysia pada tahun 2015, tiada tarian, tiada sambutan berlebihan. Tapi kenapa kali ini, untuk seorang penjenayah perang yang secara terang-terangan menyokong rejim Zionis, kita sanggup berlebih-lebihan dalam sambutan?
“Di mana maruah kita sebagai negara yang kononnya memperjuangkan hak Palestin?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Afnan turut menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa perkara berat sebelah dalam perjanjian perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat yang dimeterai sempena lawatan tersebut.
Katanya, perjanjian itu membuka hampir keseluruhan pasaran Malaysia kepada Amerika Syarikat dengan kadar cukai yang sangat rendah, manakala barangan digital Amerika kini tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan enam peratus.
“Dalam masa yang sama, Malaysia bersetuju membenarkan eksport elemen nadir bumi (REE) tanpa had ke Amerika. Ini bermakna kita sudah hilang kawalan terhadap sumber penting negara. Amerika bebas melombong sebanyak mana yang mereka mahu sedangkan rakyat Malaysia hanya mendapat keuntungan yang terlalu kecil,” tegasnya.
Beliau menambah, perjanjian itu tidak seimbang dan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara apabila Amerika mendapat kelebihan besar dari segi akses pasaran dan kawalan sumber, sedangkan manfaat kepada Malaysia sangat minimum.
“Perjanjian ini umpama kita menari menghiburkan tetamu, sedangkan yang untungnya hanya mereka. Ia tidak padan dengan segala kemeriahan yang dipamerkan. Ini bukan lagi kerjasama strategik, tapi penyerahan kuasa ekonomi,” ujarnya.
Afnan turut mengingatkan kerajaan agar tidak menggadaikan maruah digital dan sumber strategik negara semata-mata kerana ingin meraih pelaburan asing.
Katanya, Malaysia mesti berani mempertahankan dasar luar yang bebas serta tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar, apatah lagi daripada mereka yang mempunyai rekod mencabuli hak asasi manusia. – HARAKAHDAILY 28/10/2025











