Perjanjian ‘Reciprocal Trade’ atau ‘Perdagangan Timbal Balik’ Malaysia-Amerika

- Advertisement -

ANWAR menandatangani Perjanjian ‘Reciprocal Trade’ atau ‘Perdagangan Timbal Balik’ dengan Trump pada 26 Oktober 2025 baru-baru ini.

Apa maksud ‘Perdagangan Timbal Balik’ ini?

‘Perdagangan Timbal Balik’ bermaksud kedua-dua negara harus menyediakan layanan yang setara atau hampir sama antara satu sama lain khususnya cukai import (tarif), akses pasaran, dan peraturan perdagangan supaya perdagangan di antara mereka dianggap adil dan saling menguntungkan. Dalam bahasa mudah, Malaysia buka pasaran untuk barangan dari Amerika Syarikat, dan Amerika pula beri keistimewaan pasaran kepada barangan Malaysia.

Apa yang boleh berlaku dari perjanjian ini?

1. Malaysia turunkan atau hapus cukai import bagi barangan Amerika seperti kenderaan, mesin, produk pertanian.

- Advertisement -

2. Amerika kekalkan kadar tarif 19 peratus, tetapi akan kurangkan atau hapuskan tarif untuk beberapa produk tertentu dari Malaysia.

3. Malaysia buka lebih luas pasaran untuk produk dan pelabur Amerika.

4. Amerika beri akses khas untuk produk Malaysia seperti elektronik, getah, dan derivatif sawit.

5. Malaysia berjanji tidak akan larang eksport mineral penting kepada Amerika.

6. Amerika beri peluang pelaburan dan pemindahan teknologi dalam sektor perlombongan Malaysia.

7. Malaysia setuju tidak mengenakan cukai khas terhadap platform digital Amerika (Google, Meta, dan lain-lain).

8. Amerika benarkan syarikat teknologi Malaysia terlibat dalam perdagangan digital di bawah rangka kerja mereka.

Kenapa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik ini dikritik?

1. Manfaatnya tidak semestinya seimbang, terutamanya apabila satu pihak (seperti Amerika) mempunyai kuasa ekonomi yang lebih besar.

2. Kehilangan autonomi ekonomi – Beberapa klausa dalam perjanjian dilaporkan memberi kelebihan kepada Amerika, sebagai contohnya Malaysia mesti merujuk Amerika sebelum membuat perjanjian perdagangan digital dengan negara lain (seperti China). Ini boleh menghadkan dasar bebas Malaysia dalam hubungan antarabangsa.

3. Tekanan kepada industri tempatan – Apabila pasaran Malaysia terbuka luas kepada produk Amerika (contohnya barangan pertanian, automotif, makanan), syarikat tempatan mungkin tidak mampu bersaing dari segi harga dan teknologi. Ini boleh menjejaskan pengeluar kecil dan sederhana (PKS).

4. Ketegangan dengan China – Malaysia selama ini mengekalkan dasar berkecuali antara kuasa besar (Amerika dan China). Dengan perjanjian ini yang berpihak kepada Amerika, China mungkin melihat Malaysia sebagai lebih condong ke arah Washington, dan ini boleh menjejaskan hubungan dagang dengan Beijing sedangkan China ialah rakan dagang terbesar Malaysia.

5. Isu data dan perdagangan digital – Malaysia setuju tidak mengenakan cukai atau sekatan ke atas syarikat digital Amerika seperti Google, Amazon, Meta. Ini mungkin mengurangkan hasil cukai digital negara dan menjadikan Malaysia bergantung kepada ekosistem teknologi Amerika.

6. Eksploitasi sumber asli – Komitmen untuk tidak menyekat eksport rare earth dan mineral kritikal boleh menyebabkan eksploitasi sumber bumi Malaysia, jika tiada kawalan alam sekitar dan keuntungan yang adil kepada rakyat.

7. Membawa risiko jangka panjang terhadap kedaulatan ekonomi, kebebasan dasar luar, dan industri tempatan.

8. Komitmen Malaysia terhadap Amerika sebanyak USD223.4 bilion atau RM1,050 bilion (≈ RM1.05 trilion), iaitu hampir setara dengan separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selama setahun akan menyebabkan Beban Kewangan Langsung (menggandakan beban fiskal) kepada Negara di mana hutang negara boleh meningkat mendadak dari hutang RM1.26 trilion yang sedia ada.

9. Boleh menyebabkan aliran keluar mata wang asing (USD) serta melemahkan nilai ringgit jika tidak diimbangi oleh peningkatan eksport atau pelaburan masuk dari Amerika. Dengan kata lain, Malaysia ‘membeli banyak dari Amerika’, tetapi ‘menjual tidak sebanyak itu’ kepada Amerika.

10. Meningkatkan kebergantungan kepada syarikat dan teknologi Amerika. Sebagai contoh latihan, alat ganti, penyelenggaraan semuanya perlu terus dibeli dari Amerika. Dan ini akan mengurangkan keupayaan Malaysia untuk berdikari dalam industri pertahanan dan tenaga.

11. Kesan kepada dasar dan kedaulatan di mana komitmen pembelian berskala besar menyebabkan Amerika memiliki pengaruh ekonomi dan politik yang kuat terhadap Malaysia. Jika Malaysia ingin menolak dasar tertentu Amerika (contohnya isu Israel atau sekatan China), tekanan boleh datang melalui perdagangan serta pelaburan dari Amerika. Ini boleh menghadkan kebebasan diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa, terutama dalam isu Palestin dan blok BRICS.

Wujudkah kesan terhadap dasar dan prinsip Negara terhadap Palestin termasuk kempen boikot produk Amerika (BDS)?

1. Dari aspek dimensi moral, politik, dan strategik, hubungan ekonomi yang lebih rapat dengan Amerika boleh menyebabkan Malaysia lebih berhati-hati dalam mengkritik dasar Amerika terhadap Israel. Dalam bahasa yang mudah, perjanjian ini boleh menjejaskan kebebasan Malaysia untuk mengkritik Israel dengan keras dan tegas.

2. Jika kerajaan cuba boikot syarikat Amerika yang menyokong Israel (seperti dalam kempen BDS), ia boleh dianggap satu pelanggaran terhadap perjanjian ini kerana perjanjian ini menjamin ‘pasaran bebas dan tanpa diskriminasi’ untuk entiti syarikat Amerika. Seperti yang kita tahu, Amerika ialah penyokong utama Israel manakala Malaysia menyokong perjuangan Palestin serta menyertai kempen BDS (Boycott, Divestment, Sanctions). Dengan komitmen RM1.05 trilion untuk membeli barangan dan peralatan dari syarikat Amerika. Malaysia berisiko dilihat tidak konsisten dengan pendirian boikot Israel ini terutamanya jika pembelian ini melibatkan syarikat yang menyokong atau menyalurkan hasil kepada Israel sebagai contohnya Boeing, Google, atau ExxonMobil. Tidak mudah buat Kerajaan untuk melaksanakan dasar larangan rasmi (contohnya, sekatan import terhadap syarikat pro-Israel dari Amerika) tanpa risiko diplomatik atau tindakan balas ekonomi dari Amerika selepas ini.

Komitmen RM1.05 trilion ini besar dan berisiko tinggi jika tidak diurus secara berhati-hati. Ia tidak wajar dilihat sekadar memenuhi syarat politik atau dagangan Amerika sahaja. Dalam kata mudah, jika perjanjian ini tidak diawasi, rakyat mungkin terpaksa ‘membayar harga yang terlalu mahal’ untuk sebuah hubungan dagangan.

HUZIR SULAIMAN
6 Jamadil Awwal 1447H / 28 Oktober 2025 – HARAKAHDAILY 28/10/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -