
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya tidak lagi meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa perkataan ‘jelik‘ dan ‘menyakitkan hati‘ di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) sebagai satu sekatan yang tidak berperlembagaan.
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menyatakan demikian ketika mengajukan soalan tambahan dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini susulan soalan asal yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan kepada Menteri Komunikasi.
Soalan asal itu meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan terhadap keputusan mahkamah serta langkah untuk mengharmonikan Seksyen 233 dengan keputusan tersebut.
Menurut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, kerajaan wajar menghormati keputusan Mahkamah Rayuan dan meneliti semula peruntukan undang-undang berkenaan agar ia selaras dengan semangat demokrasi serta prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut mencadangkan supaya perkataan seperti ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ digantikan dengan istilah lebih tepat, objektif dan demokratik, bagi mengelakkan tafsiran longgar yang boleh menekan kebebasan bersuara rakyat.
Untuk rekod, kes ini difailkan oleh aktivis hak asasi manusia Heidy Quah Gaik Li, yang didakwa pada 2021 di bawah Seksyen 233(1)(a) kerana memuat naik hantaran media sosial yang dikatakan ‘menyakitkan hati’.
Beliau kemudian mencabar kesahihan peruntukan tersebut di Mahkamah Tinggi melalui permohonan perlembagaan, sebelum Mahkamah Rayuan pada 19 Ogos 2025 memutuskan bahawa perkataan ‘jelik‘ dan ‘menyakitkan hati‘ adalah tidak berperlembagaan kerana terlalu umum dan boleh menyekat kebebasan bersuara tanpa piawaian objektif. – HARAKAHDAILY 28/10/2025











