‘Latihan Komando’ di Masjid Rusila: Gesa KDN jelaskan!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendesak kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh berhubung insiden mencurigakan yang berlaku di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 19 September lalu.

- Advertisement -

Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang juga Setiausaha Agung PAS itu menggesa demikian berikutan perkara tersebut didakwa pihak kerajaan sebagai latihan pasukan khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut beliau, hasil siasatan dan lawatannya ke tempat kejadian mendapati rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga individu lelaki berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita berhampiran tandas wanita dalam keadaan tergesa-gesa.

“CCTV menunjukkan dengan jelas perlakuan dan pergerakan mereka. Malah, sebuah kereta berwarna perak yang dinaiki dua lelaki juga dikesan diletakkan berhampiran pagar rumah Ahli Parlimen Marang yang bersebelahan dengan masjid.

“Sekurang-kurangnya (terdapat) sepuluh individu lain dilihat berkeliaran di perkarangan masjid dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam satu sidang media di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak pengurusan masjid tidak pernah menerima sebarang pemakluman atau kebenaran daripada mana-mana agensi berhubung aktiviti latihan atau operasi pada hari kejadian.

Takiyuddin turut menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat oleh pihak pengurusan Masjid Rusila serta kenyataan rasmi masjid yang disiarkan di laman _Facebook_ mereka pada 22 Oktober.

Dalam kenyataan itu, pihak masjid menegaskan tidak pernah menerima sebarang permohonan bertulis atau lisan bagi menjalankan sebarang aktiviti seperti yang didakwa APMM.

“Mereka turut menghubungi pihak polis bagi mendapatkan pengesahan, dan jawapan yang diterima ialah tiada apa-apa aktiviti agensi dijalankan pada masa tersebut.

“Selepas laporan polis dibuat, barulah pihak masjid menerima permohonan maaf secara lisan melalui telefon daripada pihak Maritim Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga mendedahkan kewujudan surat rasmi bertarikh 11 September yang dikeluarkan oleh APMM berhubung latihan pelarian dan pelolosan Kursus Asas Komando STAR Team.

Surat tersebut menyatakan tarikh latihan antara 17 hingga 22 September dengan kawasan pelaksanaan merangkumi Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang.

“Seramai 30 anggota terlibat dengan memakai pakaian Black Multi-Cam, Lauren, ACU dan pakaian awam. Paling membimbangkan, lampiran surat itu turut menyenaraikan senjata yang digunakan.

“Iaitu 15 laras M4 Carbine, dua laras Glock 17 serta peluru hidup sebanyak 150 butir 5.56mm dan 50 butir 9mm. Ini bermaksud latihan itu menggunakan peluru hidup,” ujarnya.

Takiyuddin menegaskan bahawa latihan yang disebut sebagai SERE (Survival, Evasion, Resistance and Escape) biasanya dijalankan ‘behind enemy line’ atau di kawasan musuh dalam konteks ketenteraan.

“Persoalan yang timbul siapakah musuh yang dimaksudkan? Siapakah sasaran atau tebusan yang hendak diloloskan? Dan mengapa Masjid Rusila dijadikan lokasi latihan?” soalnya.

Menurut beliau, tindakan ini menimbulkan keresahan awam dan pelbagai andaian terhadap keselamatan Ahli Parlimen Marang, keluarganya dan masyarakat setempat.

“Atas dasar keselamatan dan kebertanggungjawaban, kami mendesak agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan tuntas berhubung SOP, tujuan dan justifikasi latihan yang dijalankan oleh agensi di bawahnya,” katanya.

Takiyuddin turut menegaskan bahawa pihak pembangkang tidak mempunyai sebarang niat untuk menyerang mana-mana jabatan atau pegawai kerajaan secara peribadi.

“Kami menghormati semua pegawai penguat kuasa kerajaan. Namun, sebagai wakil rakyat, kami berhak menyoal dasar dan SOP yang digunakan jika ia boleh menjejaskan keselamatan rakyat,” katanya.

Beliau menyeru agar isu ini tidak dipandang remeh dan diselesaikan dengan penjelasan yang telus demi menjaga ketenteraman awam dan maruah institusi masjid sebagai tempat suci umat Islam. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -