Krisis kos sara hidup di IPT hingga gadai maruah diri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) membangkitkan kepincangan serius dalam sistem sokongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melibatkan isu kebajikan dan kos sara hidup.

- Advertisement -

Beliau mendedahkan hasil laporan dan kajian diperolehi menunjukkan kapasiti penempatan pelajar di universiti awam utama amat rendah, menyebabkan ramai mahasiswa terpaksa menyewa di luar kampus dengan kos tinggi.

“Sebagai contoh, di Universiti Malaya hanya ada 12,000 tempat penginapan walaupun jumlah pelajar hampir 22,000 orang. Akibatnya pelajar terpaksa menyewa di luar kampus dengan kos sara hidup antara RM800 hingga RM1,500 sebulan, bergantung kepada lokasi,” ujarnya.

Menurut beliau, keadaan ini amat membebankan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang bukan sahaja perlu membayar sewa tinggi, malah ada terpaksa tinggal jauh dari kampus atau dalam keadaan tidak sesuai.

“Kerajaan wajar memikirkan langkah untuk memperbanyakkan asrama baharu atau mewujudkan penempatan luar kampus yang selesa dan berhampiran, agar tidak terus menekan mahasiswa,” tegas beliau semasa perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Misbahul Munir turut menyentuh isu elaun latihan industri yang dianggap tidak munasabah dan tidak selaras dengan kos sebenar perlu ditanggung pelajar.

“Elaun di sektor swasta hanya sekitar RM300 hingga RM900 sebulan. Ada pelajar di jabatan kerajaan pula tidak dibayar langsung. Bila latihan dibuat tanpa elaun, ia menambah beban kewangan pelajar dengan sewa rumah, makan, pengangkutan, semuanya perlu ditanggung sendiri,” katanya.

Lebih membimbangkan katanya lagi, ada pelajar yang sudah tidak menetap di kampus kerana menjalani latihan industri di luar, tetapi masih dikenakan yuran penginapan seperti biasa.

“Sepatutnya yuran itu dikurangkan atau dipotong kerana mereka tidak menggunakan kemudahan tersebut,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh laporan mengenai anggaran kos sara hidup pelajar di Malaysia yang kini mencecah antara RM1,200 hingga RM3,000 sebulan, bergantung kepada lokasi dan gaya hidup.

“Untuk pelajar bajet sederhana, penginapan sahaja RM300 hingga RM500, makan pula sekitar RM500 sebulan. Bila dana tidak cukup, mereka bekerja sambilan, kurang tidur dan menjejaskan prestasi akademik,” jelasnya.

Lebih parah, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena ‘sugar baby’ yang semakin menular dalam kalangan pelajar universiti akibat tekanan kewangan.

“Satu kajian mendapati ada lebih 10 universiti di Malaysia yang terlibat dengan fenomena ini. Antaranya Sunway University (3,105 kes), INTI International University (2,626), Taylor’s University (1,666), University Malaya (1,280), Limkokwing (864), MMU (832) dan UiTM (704),” katanya.

Menurut beliau, perkara ini amat membimbangkan kerana menunjukkan desakan ekonomi mampu menggugat moral dan maruah pelajar.

“Mungkin kerana kos sara hidup terlalu tinggi, mereka sanggup menjadi ‘sugar baby’. Ini sesuatu yang amat menyedihkan dan perlu ditangani segera oleh pihak IPT dan kerajaan,” tegasnya.

Ustaz Misbahul Munir menegaskan bahawa kerajaan mesti memberi perhatian khusus terhadap kebajikan pelajar IPT sama ada dalam aspek penyediaan penginapan, elaun latihan industri, mahupun bantuan sara hidup.

“Jika pelajar dibebani tekanan kewangan tanpa penyelesaian, kita bukan hanya kehilangan potensi intelektual, tetapi juga merisikokan generasi muda kepada keruntuhan akhlak,” ujarnya.

Beliau menyeru agar Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan menggubal dasar lebih menyeluruh untuk menjamin kebajikan pelajar di semua peringkat kerana masa depan negara bermula dari kesejahteraan kampus.

Skim kerani ketinggalan: JPA lambat bertindak

Beliau dalam perbahasan itu turut menegur kelewatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam menambah baik skim saraan bagi kumpulan pentadbiran dan kerani yang disifatkan sebagai ‘tulang belakang’ perkhidmatan awam negara.

Beliau menyambut baik pengumuman kenaikan gaji lima peratus oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, namun menegaskan pelaksanaan sistem saraan baharu itu masih belum benar-benar adil kepada semua lapisan penjawat awam.

“Kenaikan gaji itu memang dinantikan dan amat dihargai. Namun dalam penambahbaikan skim pentadbir gred 19, 22, 26 dan 28, ianya telah diturunkan taraf menjadi gred 1, 2, 3 dan 4 dalam sistem baharu.

“Ini meletakkan skim tertua dalam negara, yang menjadi tunjang pentadbiran dan kewangan seluruh jabatan kerajaan, pada kedudukan yang tidak sewajarnya,” katanya ketika berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, pegawai dan kerani dalam skim ini telah berkhidmat berpuluh tahun namun masih kekal dengan kelayakan masuk setaraf SPM sejak tahun 1950-an, walaupun pernah berada pada tahap yang sama dengan guru, penghulu, juruteknik dan penolong pegawai tanah.

“Sudah lebih lima puluh tahun mereka menunggu pembaharuan. Pelbagai kertas kerja, perbincangan dan kunjungan hormat dibuat tetapi bagaikan melukut di tepi gantang, tidak mendapat perhatian sewajarnya,” tegasnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan JPA yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, namun hasilnya masih mengecewakan.

“JPA hanya berjanji untuk mengkaji dan menyatakan penambahbaikan akan dibuat dalam fasa kedua sistem saraan baharu, tetapi sehingga kini tiada sebarang hitam putih atau tindakan konkrit dimaklumkan,” ujarnya.

Ustaz Misbahul Munir menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan memberi perhatian serius terhadap penyelarasan dan keadilan skim perkhidmatan kerani dan pentadbiran, demi memastikan kebajikan serta motivasi penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -