Warganegara: Isu 7 pemain skandal besar abad ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Blok pembangkang berperanan di Parlimen dengan bertindak sebagai semak dan imbang kepada dasar kerajaan agar tidak menyimpang daripada kepentingan rakyat, bukanlah untuk menyerang mana-mana jabatan kerajaan atau pegawai.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini sambil menolak tuduhan kononnya pembangkang bersikap prejudis terhadap penjawat awam.

“Kami tidak pernah mempunyai prejudis atau tindakan menyerang mana-mana jabatan kerajaan mahupun pegawai-pegawai kerajaan. Peranan kami adalah konstruktif, menilai dasar kerajaan dan menjadi suara rakyat untuk memastikan dasar-dasar itu betul,” tegas beliau.

Dalam sidang media sama, Takiyuddin turut membangkitkan isu serius melibatkan tujuh pemain bola sepak naturalisasi Malaysia yang didakwa mendapat taraf kewarganegaraan melalui dokumen palsu.

Katanya, perkara itu berpunca daripada penemuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mendapati dokumen asal berkaitan tempat kelahiran datuk atau nenek pemain terbabit adalah palsu, meskipun disahkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“FIFA mendapati bahawa dokumen yang diserahkan oleh FAM bagi tujuh pemain naturalisasi Malaysia adalah palsu dan kononnya datuk atau nenek mereka lahir di Malaysia. Hakikatnya, dokumen itu tidak benar dan telah dipalsukan,” katanya.

Beliau mendedahkan, antara contoh ketara ialah seorang pemain yang dikatakan lahir di Melaka, tetapi sebenarnya lahir di Sepanyol, seorang lagi dikatakan lahir di Pulau Pinang, tetapi sebenarnya dari Argentina, dan ada juga yang kononnya dari Johor tetapi asalnya Brazil.

“Ini bukan perkara kecil. Ini skandal besar yang menyentuh soal integriti dokumen rasmi negara. Kalau benar tujuh pemain ini diberi kewarganegaraan atas dokumen palsu, ia bukan hanya menjejaskan sukan tetapi juga nama baik Malaysia,” tegas beliau.

Datuk Seri Takiyuddin turut mempersoalkan tindakan JPN yang didakwa mengesahkan dokumen tersebut kepada FIFA melalui satu ‘witness statement’, meskipun dokumen asal tidak dapat dirujuk atau disahkan kesahihannya.

“Bagaimana JPN boleh keluarkan salinan sah ‘certified true copy’ sedangkan rujukan asal tiada? Ini satu bentuk pengakuan bahawa mereka sendiri mengesahkan bukti bertulis tangan zaman dahulu (handwritten document) tanpa semakan menyeluruh,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa Menteri Dalam Negeri perlu tampil menjelaskan isu berkenaan secara terbuka kerana ia melibatkan pengeluaran 43,000 kewarganegaraan baru, termasuk kategori naturalisasi.

“Kita mahu pecahan jelas daripada negara mana, bangsa apa, dan berapa ramai diberi taraf kewarganegaraan dalam tempoh beliau menjadi Menteri Dalam Negeri? Ini bukan peluru kapur. Ini isu besar yang perlu dijawab,” ujarnya.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan berprinsip.

“Kami bukan musuh negara, kami hanya mahu memastikan dasar kerajaan tidak disalahguna dan rakyat mendapat keadilan,” katanya turut menyokong pandangan bahawa isu pemain naturalisasi itu sebagai ‘skandal kewarganegaraan terbesar abad ini’. – HARAKAHDAILY 23/10/2025

- Advertisement -