
KUALA LUMPUR: Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 oleh Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) terhenti hampir 15 minit kerana Peraturan Dewan dikemukakan wakil kerajaan.
Ucapan itu terpaksa dihentikan apabila Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) membawa Peraturan Dewan 36 (C) kerana Marzuk memberi peringatan kepada rakyat bagaimana konflik Palestin boleh berlaku.
Tidak cukup dengan itu, dua lagi wakil rakyat kerajaan, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) dan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Gelugor) turut bangun menolak ucapan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.
Keadaan bertambah gamat apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) bangun bersama Peraturan Dewan 36 (6) yang menyokong kenyataan Marzuk yang memberi peringatan kepada rakyat terhadap situasi di Palestin.
“Apa yang dilakukan oleh Pengkalan Chepa ini untuk kita semua memperingati bukan nak jadi supaya kita tidak jadi seperti Israel akhirnya berlaku pembunuhan beramai-ramai, jual tanah dan sebagainya.
“Jadi kita ni rakyat (orang Melayu) yang dominan negara ini, kita mesti menjaga hak negara dominan jadi inilah sebenarnya mereka yang cuba menimbulkan provokasi perkauman yang disebut,” katanya.
Suasana tegang itu diredakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor yang mengikuti ucapan perbahasan Marzuk tidak mendapati perkataan menghina kaum dan agama lain.
Beliau menolak cadangan dikemukakan oleh tiga wakil kerajaan itu bagi menghentikan ucapan dan meneruskan perbahasan dengan masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 15 minit seorang.
Dalam pada itu Marzuk dalam ucapan perbahasan beliau memberi peringatan perjuangan rakyat dan sejarah Palestin banyak memberi pengajaran kepada semua pihak khususnya orang Islam di negara ini.
Beliau berkata, masyarakat arab Palestin merupakan sebuah negara berdaulat sebelum Deklarasi Balfour dimeterai pada 2 November 1917, antara lain setuju membuka tanah Palestin bagi kemasukan Yahudi.
“Kehilangan ini bermula bukan dengan peluru tetapi penjualan tanah dan penguasaan ekonomi Yahudi dan kehilangan semangat perpaduan dalaman di kalangan orang pribumi bangsa Arab Palestin itu sendiri.
“Akhirnya bangsa asal menjadi pelarian di tanah sendiri pada hari ini, di bandar-bandar kita melihat tanah-tanah strategik semakin beralih tangan dan peniagaan utama dikuasa korporat asing,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2025











