
KITA mungkin berbeza parti atau ideologi perjuangan, namun yang penting sebagai warga Melayu Islam biarlah dalam isu-isu melibatkan kepentingan atau maslahah ummah, kita bersatu berdiri teguh, biar nampak kesepakatan dan kesepaduan ummah dalam menjaga dan membela agama.
Tiada siapa atau mana pihak yang menang kiranya berjaya tuntutan ini, yang penting maruah dan harga diri Islam terbela. Jangan sampai kita dihina dan diperendah lantaran kegagalan kita untuk bersatu demi kepentingan bersama. Kita ramai tetapi gagal bersatu menjaga kepentingan bersama.
Isu melarang hidangan arak di atas pesawat penerbangan Malaysia ini adalah isu maruah. Biar kita tunjuk pada yang lain bahawa kita ke hadapan apabila maruah kita tercalar atau tercabar.
Kita mahu menjaga kepentingan krew Muslim termasuklah juruterbang dan anak-anak kapal. Kita mahu menjaga keselesaan penumpang Muslim. Kita mahu mempertahankan hasrat kerajaan membudayakan tabiat hidup yang sihat kalangan rakyat. Kita mahu menjaga nyawa dan kepentingan nasional dari berlaku sebarang insiden atas pesawat di udara kiranya berpunca dari penumpang yang mabuk. Dan yang paling utama kita mahu mengangkat kehormatan Islam sebagai Agama Persekutuan, ini syarikat penerbangan milik negara, biarlah bebas dari sebarang unsur haram.
Tak perlulah MP-MP Muslim lain (dalam hal ini MP-MP PAN) terbit dengan apa yang mereka dakwa ‘langkah praktikal’ menyelesaikan isu arak dalam pesawat Penerbangan Malaysia, kerana ternyata ia tidak selesaikan pun isunya, namun terus membenarkan arak dihidangkan bertentangan dengan tuntutan di atas. Seolah tuntutan kita tidak praktikal?
Salah atau hinakah menyokong tuntutan ini? Tak perlu mana pihak mahu jadi ‘juara’ kerana ini ujian sejauh mana kekuatan dan kemampuan politik kita untuk pertahankan yang hak. Kalau ini pun kita longgar dan goyang, tak perlulah mahu perjuangkan perkara yang lebih besar. Tunggulah hukuman dari rakyat.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Penganalisis Politik – HARAKAHDAILY 23/10/2025











