
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat rungutan masyarakat berkaitan isu kesesakan dan kesulitan tempat letak kenderaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.
“Hospital tu depa (mereka) nak parking (parkir) jauh, kena berjalan jauh, nak kena bertugas dari pagi sampai malam. Jadi kita tengok staf yang parking masuk pagi pukul 8 (pagi) keluar pukul 5 (petang).
“Yang ni insya-Allah kita akan letak ‘buggy’, kita ke arah itu. Nak bawa depa dari parking. Kita tak mau susahkan staf, tapi kita nak juga pesakit ni dapat parking dekat,” ujar beliau.
Mohd Shukri berkata, kerajaan negeri sedang mencari kaedah terbaik bersama pihak hospital agar kemudahan parkir dapat disusun semula secara adil antara petugas dan pesakit.
“Masalahnya waris yang hantar pesakit kena letak kereta jauh, dia jadi masalah. Kita fikir semua masalah tu, rungutan daripada orang ramai ni kita buat (tindakan) dan kita bersama dengan hospital nak cari satu kaedah yang memudahkan.
“Jadi la (sekarang) ni ada beberapa ratus parking tu kita bahagi sebahagiannya untuk staff dan sebahagian lagi untuk pesakit,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Beliau menjelaskan, isu tempat letak kereta bukan hanya berlaku di Perlis, malah di hampir semua hospital di negara ini, namun kerajaan negeri mahu pendekatan harmoni diambil tanpa menimbulkan ketegangan.
“Masalah parking di hospital ni bukan di Perlis sahaja, di mana-mana hospital pun ada. Bagi ruang untuk kita nak perelokkan, jangan terus balun (persalahkan) kita. Kita nak bagi harmoni, kita nak permudahkan staf dan rakyat, kita pakat sama-sama bagi pandangan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ dan Majlis Penyampaian Elaun Bulanan Pengerusi serta Setiausaha MPKK Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Warisan, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, projek pembinaan parkir bertingkat di hospital telah pun mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan, namun pelaksanaannya menunggu peruntukan disalurkan.
“Memang kita akan dapat parking bertingkat, tapi masa dia panjang lagi. Kelulusan tu kita dah dapat dari Kerajaan Pusat tapi kita kena tunggu peruntukan itu diberikan sebab hospital ni di bawah Kerajaan Pusat, negeri hanya memudahkan cara sahaja,” jelasnya.
Mengenai isu parkir berpalang yang turut menimbulkan rungutan rakyat, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri itu berkata, kerajaan akan mencari penyelesaian yang tidak membebankan pengguna.
“Parking palang, kita akan cari satu solusi macam mana nak buat supaya harmoni, supaya rakyat tak terkesan. Rakyat tak mau masuk parking yang ada palang, payah dia kata. Tu pun kita akan cari kaedah macam mana kita nak selesaikan masalah tu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/10/2025











