
ALOR SETAR: Profesional teknikal diseru agar terus tampil sebagai agen perubahan dan pemimpin dalam arus pembangunan negara yang berteraskan inovasi, kelestarian dan tanggungjawab sosial, bukan sekadar menjadi pelaksana teknikal semata-mata.
Dato’ Mohamad Yusuf @ Munir Zakaria menegaskan bahawa profesion teknikal memerlukan kekuatan jati diri serta nilai integriti tinggi dalam setiap pelaksanaan tugas agar pembangunan dapat dilaksanakan secara beretika dan berkesan.
“Jangan ada unsur ketirisan atau penipuan untuk kepentingan diri. Apabila diberi amanah maka laksanakan dengan sebaik-baiknya,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri itu.
Dato’ Munir turut mengingatkan bahawa tugas profesion teknikal bukan sekadar membina struktur fizikal, tetapi membina kehidupan masyarakat yang lebih mudah, selamat dan bermakna.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Kompleks Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) semalam.
Menurut beliau, sambutan HPTN diadakan bagi menghargai sumbangan besar para profesional teknikal dalam pembangunan negara, terutamanya dalam bidang infrastruktur, teknologi moden dan pemodenan industri.
“Profesion teknikal bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan fizikal negara, malah menjadi pemikir dan pelaksana kepada pelbagai inisiatif strategik termasuk teknologi pintar, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan lestari,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar generasi muda diberikan lebih banyak peluang dan pendedahan dalam bidang teknikal agar negara tidak ketandusan tenaga mahir dan pemikir inovatif di masa hadapan.
“Kita berharap generasi muda akan memilih dan menceburi kerjaya dalam bidang teknikal kerana masa depan negara amat bergantung kepada mereka yang mempunyai kemahiran teknikal dan pemikiran inovatif,” katanya.
HPTN 2025 yang bertemakan ‘Mengorak Inovasi Masa Depan Demi Kemanusiaan’ menjadi wadah untuk menghimpunkan warga teknikal seluruh negara bagi meraikan kepakaran dan inovasi mereka dalam membangunkan Malaysia ke arah negara maju berasaskan ilmu dan kemahiran. – HARAKAHDAILY 23/10/2025











