
ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakini pengalaman luas Tan Sri Annuar Musa mampu membawa PAS menembusi landskap politik Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.
Bekas Setiausaha Agung Umno yang kini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat telah dimandatkan sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS bagi mengetuai jentera parti pada PRN bakal berlangsung November ini.
“Tan Sri Annuar Musa ada pengalaman lama dalam Umno. Pengalamannya sangat luas dan ini amat diperlukan memandangkan pendekatan dan senario politik Sabah tidak sama seperti di Kedah atau Kelantan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hamper Deepavali di Wisma Darul Aman di sini semalam.
Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri mengakui, kekangan masa menyukarkan beliau untuk kerap berulang-alik ke Sabah bagi memimpin gerak kerja pilihan raya.
“Kalau saya nak pergi, perlu ambil masa empat hingga lima hari. Jadi, Tan Sri (Annuar) boleh pergi ke sana untuk memimpin jentera. Gabungan ini diyakini boleh menembusi Sabah,” jelasnya.
Mengulas mengenai persiapan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata proses rundingan kerusi antara parti komponen telah selesai dan kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan calon.
“Kerja-kerja pilihan raya sudah pun bermula dari sekarang dan kita sudah tahu kerusi-kerusi mana yang akan ditandingi. Pengumuman calon akan dibuat sebelum hari penamaan calon,” tambahnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 15 November sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sabah Ke-17, diikuti 25 November untuk pengundian awal dan 29 November sebagai hari mengundi. – HARAKAHDAILY 17/10/2025











