
ALOR SETAR: Konsep dosa dan pahala mesti diterapkan secara serius dalam segenap proses pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak bagi menangani krisis keruntuhan moral yang semakin meruncing.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, elemen penting itu dilihat semakin terpinggir, menyebabkan generasi muda hari ini hilang rasa malu dan takut untuk melakukan jenayah keji.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Hamper Deepavali di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau amat terkejut dan bimbang dengan siri jenayah berat seperti rogol beramai-ramai sehingga dirakam video yang berlaku di sekolah baru-baru ini.
“Elemen penting yang tertinggal dalam semua ini ialah dosa dan pahala. Dosa dan pahala tidak diberi tempat dalam proses ini (pembentukan diri). Untuk orang Islam, kita beri amaran keras.
“Semua agama melarang perbuatan rogol dan hubungan terlarang di luar ikatan perkahwinan yang sudah tentu mendatangkan aib,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.
Beliau menekankan bahawa dalam Islam, persetubuhan di luar ikatan perkahwinan adalah dosa besar yang dikenakan hukuman sebat 100 rotan dan mengakibatkan keturunan tiada nasab.
Justeru itu katanya, konsep dosa dan pahala perlu diserapkan dalam setiap aspek kehidupan, bermula dari rumah.
“Rasa malu juga kena ditimbulkan semula. Semua ini perlu dimasukkan ke dalam proses pendidikan yang bermula dari rumah, dari dapur, bilik tidur, dan meja makan. Ibu ayah kena awasi anak-anak,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, sekolah hanya memainkan sebahagian peranan, manakala tanggungjawab hakiki untuk membentuk generasi yang sempurna bagi menghadapi cabaran masa depan terletak di bahu ibu bapa.
“Masyarakat dewasa perlu terus memerhati orang muda untuk memberi pedoman dan nasihat. Beri mereka pengalaman dan pemerhatian yang kita hadapi dari muda ke tua, bahawa semua tindakan ada akibatnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/10/2025











