
BAB PERTAMA: Zaman jahiliyyah (العصر الجاهلي)
Maulana Abul Hasan al-Nadwi memulakan penulisan kitab ini dengan terlebih dahulu memberikan gambaran menyeluruh mengenai keadaan dunia pra-Islam (sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW) yang penuh kegelapan akidah, sosial, dan moral.
Menurut Maulana al-Nadwi:
لم يكن انحطاط المسلمين وانعزالهم عن قيادة الأمم حدثًا عاديًا، بل كان حدثًا لا مثيل له في التاريخ، مأساة إنسانية لم يشهد التاريخ أقبح منها
“Kejatuhan umat Islam dan pengasingan mereka daripada kepimpinan dunia bukanlah peristiwa biasa, bahkan tragedi besar yang tiada bandingan dalam sejarah.”
Untuk menjelaskan rahmat kedatangan Islam, Maulana al-Nadwi mengimbau abad ke-6 dan 7 Masihi, di mana Kristian telah berubah menjadi agama berhala:
أصبحت بزيادة المُحرِّفين تحول بين الإنسان والعلم
“Dengan penyelewengan yang bertambah, ia menjadi penghalang manusia daripada ilmu.”
Dunia Rom dan Mesir tenggelam dalam penindasan politik dan keruntuhan akhlak, sementara Eropah Barat hidup dalam ‘malam gelap’ yang panjang.
Bangsa Parsi pula mempraktikkan perkahwinan sesama mahram dan menyembah api, manakala India telah dipenuhi kepelbagaian dewa, sistem kasta zalim, dan kehinaan terhadap golongan pariah.
Manakala, China dan Asia Timur larut dalam Buddhisme yang sudah menyimpang, bercampur dengan paganisme.
Dunia Arab sendiri, meskipun memiliki sifat mulia seperti fasih dan berani, tetap hanyut dalam syirik:
كان الشرك هو دينهم، يؤمنون بالله لكن بحثوا عن وسطاء للتوسط إليه أشركوهم في الدعاء
“Syirik adalah agama mereka; mereka beriman kepada Allah tetapi mencari perantara, lalu mereka sekutukan dalam doa.”
Firman Allah SWT:
وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـٰٓؤُلَآءِ شُفَعَـٰٓؤُنَا عِندَ ٱللَّهِ ۚ قُلْ أَتُنَبِّـُٔونَ ٱللَّهَ بِمَا لَا يَعْلَمُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ سُبْحَـٰنَهُۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ ١٨
“Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.” (Surah Yunus ayat 18)
Wanita ditindas, bayi perempuan ditanam hidup-hidup, manakala budaya arak, riba, zina dan fanatisme kesukuan berleluasa.
Maulana al-Nadwi menegaskan bahawa:
وهكذا ضاعت رسالة الأنبياء بين غنى مُطغٍ وفقر مُنسٍ
“Demikianlah hilangnya risalah para nabi di antara kekayaan yang melampaui batas dan kemiskinan yang melupakan.”
Inilah latar kegelapan jahiliyyah yang menjadi asas hujahnya bahawa kemunculan Islam adalah rahmat agung bagi manusia, datang tepat pada saat dunia berada di puncak keruntuhan rohani, sosial dan moral.
Maksud jahiliyyah (جاهلية)
Menurut Maulana al-Nadwi, istilah ‘al-Jāhiliyyah’ tidak hanya merujuk kepada suatu zaman tertentu sebelum kedatangan Islam, tetapi ia merupakan satu keadaan rohani, akliah dan peradaban yang wujud bila manusia meninggalkan nilai-nilai ilahi lalu menggantikannya dengan nilai buatan manusia.
Beliau menegaskan bahawa kemerosotan umat Islam sehingga hilang kepimpinan dunia telah membuka kembali pintu jahiliyyah moden, sama seperti keadaan dunia sebelum Islam.
Kemudian Maulana menjelaskan maksudnya:
فالجاهلية ليست فترة من الزمن محدودة، ولكنها طابع روحي وعقلي معين، طابع يبرز بمجرد أن تسقط القيم الأساسية للحياة البشرية، كما أرادها الله، وتحل محلها قيم مصطنعة تستند إلى
“Sesungguhnya al-Jāhiliyyah bukanlah suatu zaman yang terbatas, tetapi ia adalah suatu corak rohani dan akliah tertentu; ia muncul sebaik sahaja nilai-nilai asas kehidupan manusia – sebagaimana yang dikehendaki Allah – runtuh, lalu digantikan dengan nilai palsu yang direka manusia.”
Kesimpulannya, bagi Maulana al-Nadwī, jahiliyyah ialah fenomena keruntuhan nilai ilahi dan digantikan dengan nilai rekaan manusia, sama ada dalam aspek akidah, akhlak, politik atau tamadun.
Ia boleh berlaku pada bila-bila masa, sama ada pada zaman pra-Islam, mahupun zaman moden apabila manusia tunduk kepada materialisme, kapitalisme, atau ideologi selain Islam.
Bersambung.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 17/10/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











