
BAB KEDUA: Daripada zaman Jahiliyyah kepada zaman Islam (من الجاهلية إلى الإسلام)
Seterusnya Maulana Abul Hasan al-Nadwi meneruskan perbincangan dengan memberikan gambaran bagaimana risalah Nabi Muhammad SAW muncul pada saat dunia berada di ambang keruntuhan rohani, akhlak, dan politik.
Dunia ketika itu, menurut beliau, bagaikan ditimpa gempa yang menghancurkan sendi kehidupan:
واجه محمد عالمًا فاسدًا بكل المقاييس، وكأنما أصابه زلزال حطم الأخلاق والعقيدة والملك
“Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan dunia yang rosak dari segenap segi, seolah-olah ditimpa gempa yang menghancurkan akhlak, akidah, dan pemerintahan”.
Apabila seruan tauhid berkumandang di Makkah, Quraisy segera menyedari bahawa ia adalah ancaman terhadap warisan jahiliyyah mereka. Sememangnya dakwah Nabi SAW telah menggegarkan Jahiliyyah!
Rasulullah SAW tetap tabah, menyuburkan roh umat dengan al-Quran dan jiwa mereka dengan iman:
فقامت قيامتها مدافعة عن تراثها. وثابر الرسول يغذي أرواحهم بالقرآن ونفوسهم بالإيمان
“Maka Quraisy bangkit mempertahankan tradisi mereka, namun Rasulullah SAW terus menyuburkan roh mereka dengan al-Quran dan jiwa mereka dengan iman”.
Melalui wahyu, Baginda SAW membina manusia dari akar akidah, melahirkan satu jemaah beriman yang menjadi benteng daripada keruntuhan moral.
Di Madinah pula, baginda SAW mempersaudarakan Muhājirīn dan Anṣār. Islam mematahkan ikatan syirik dan kufur, dan membina masyarakat yang teguh dengan iman:
فكانت هذه الجماعة نواة الأمة الإسلامية ووقاية للعالم من الانحلال
“Maka terbentuklah jemaah ini sebagai benih umat Islam dan perisai dunia daripada kehancuran”.
Perubahan ini merupakan satu inqilāb (revolusi) rohani yang mengubah manusia daripada penyembah berhala kepada hamba Allah yang bertakwa.
Islam membuang diskriminasi kaum, menegakkan prinsip:
لا فرق لعجمي على عربي إلا بالتقوى
“Tiada beza antara bukan Arab dengan orang Arab kecuali dengan taqwa”.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:
يا أيُّها الناسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ ألا لا فضلَ لِعربِيٍّ على عجَمِيٍّ ولا لِعجَمِيٍّ على عربيٍّ ولا لأحمرَ على أسْودَ ولا لأسودَ على أحمرَ إلَّا بالتَّقوَى إنَّ أكرَمكمْ عند اللهِ أتْقاكُمْ
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan orang Arab ke atas orang bukan Arab, dan tidak ada kelebihan orang bukan Arab ke atas orang Arab. Tidak juga orang yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, dan tidak juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah, kecuali dengan taqwa. Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Hadis Riwayat Imam al-Bayhaqī, Syu‘ab al-īmān no. 5137)
Islam juga menegakkan prinsip menyatukan manusia dalam satu keluarga besar berlandaskan iman.
Kesan pendidikan Islam menjadikan insan yang biasa sebagai pemimpin besar; contohnya Saidina ‘Umar al-Khattab RA, yang asalnya penggembala unta, tetapi kemudian menjadi pembuka Parsi dan Rom, seolah-olah:
فكأنما كانوا جمادًا فتحولوا أجسامًا نامية
“Mereka dahulu benda mati, lalu berubah menjadi jasad yang hidup berkembang”.
Akhirnya, lahirlah sebuah tamadun berasaskan tauhid dan keadilan yang kekal sebagai kilauan putih dalam sejarah:
فكان ذلك هو العهد الإسلامي الذي لا يزال غُرَّة في جبين التاريخ.
“Maka itulah era Islam yang tetap menjadi cahaya gemilang di wajah sejarah”.
Maulana al-Nadwī menegaskan bahawa kebangkitan Islam bukan hanya reformasi sosial, tetapi satu transformasi menyeluruh yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan jahiliyyah dan mengangkat martabat kemanusiaan.
Bersambung.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 17/10/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











