
BAB KETIGA: Zaman Islam (العصر الإسلامي)
Maulana Abul Hasan Ali al-Nadwī selanjutnya membicarakan mengenai kehebatan, kejayaan dan kejatuhan tamadun Islam.
Kepimpinan umat Islam dan keseimbangan hidup
Apabila umat Islam telah mencapai sifat-sifat yang melayakkan mereka untuk memimpin, mereka telah menggantikan bangsa-bangsa yang sakit dan gagal membawa manusia kepada kemuliaan.
Kejayaan ini berlaku kerana mereka membawa kitab wahyu dan syariat Ilahi, bukan hukum ciptaan manusia yang penuh keraguan. Seperti kata Maulana al-Nadwī:
لِإِخْرَاجِ النَّاسِ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ رَبِّ الْعِبَادِ
“Untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah Tuhan sekalian manusia.”
Kata hikmah ini diinspirasi daripada peristiwa sahabat Rasulullah SAW, Sayyidina Rib‘ī ibn ‘Āmir al-‘Amrawī al-Tamīmī ketika berhadapan dengan Panglima Parsi, Rostam Farrokhzad.
Beliau dengan penuh keberanian dan keyakinan mengungkapkan:
اللَّهُ ابْتَعَثْنَا لِنُخْرِجَ مَنْ شَاءَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللَّهِ، وَمِنْ ضِيقِ الدُّنْيَا إِلَى سِعَتِهَا، وَمِنْ جَوْرِ الْأَدْيَانِ إِلَى عَدْلِ الْإِسْلَامِ، فَأَرْسَلَنَا بِدِينِهِ إِلَى خَلْقِهِ لِنَدْعُوَهُمْ إِلَيْهِ، فَمَنْ قَبِلَ ذَلِكَ قَبِلْنَا مِنْهُ وَرَجَعْنَا عَنْهُ، وَمَنْ أَبَى قَاتَلْنَاهُ أَبَدًا حَتَّى نُفْضِيَ إِلَى مَوْعُودِ اللَّهِ
“Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki daripada perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru manusia kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”
Di bawah kepimpinan Islam, bangsa-bangsa lain turut mendapat bahagian dalam agama, ilmu, akhlak dan pentadbiran. Bahkan ramai ulama dan sarjana Islam lahir daripada kalangan bukan Arab.
Keseimbangan roh dan jasad
Menurut Maulana al-Nadwī, manusia ialah gabungan jasad dan roh. Justeru, hanya kepimpinan yang menggabungkan agama dan dunia, roh dan material mampu membawa manusia ke tahap kesempurnaan.
Jika hanya material semata-mata, maka lahirlah tamadun yang kuat dalam sains tetapi mati dalam roh dan moral.
Jika hanya kerohanian tanpa keseimbangan, manusia akan melarikan diri ke biara dan meninggalkan fitrah kemanusiaan.
Keunggulan Islam terletak pada kesatuannya yang menggabungkan keduanya:
جَمَعُوا بَيْنَ الدِّينِ وَالْخُلُقِ وَالْقُوَّةِ وَالسِّيَاسَةِ
“Mereka (umat Islam) telah menghimpunkan agama, akhlak, kekuatan dan politik.”
Punca kebangkitan dan permulaan kemerosotan
Nabi Muhammad SAW telah membentuk para Sahabat agar seimbang seorang faqih juga mujahid, seorang amir juga alim.
Maka kepimpinan Islam dibina atas dua asas utama:
1. Al-Jihād (الجهاد) – kesungguhan menegakkan ketaatan kepada Allah, menentang syirik, hawa nafsu dan penindasan.
2. Al-Ijtihād (الاجتهاد) – kemampuan berfikir, mengeluarkan hukum serta memanfaatkan sumber alam bagi kemaslahatan Islam.
Namun selepas zaman Khulafā’ al-Rāshidīn, kepimpinan beralih kepada tangan yang tidak seimbang iaitu lebih bersifat “ملك عضوض” (pemerintahan yang menggigit) berbanding kepimpinan gaya khilafah.
Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
تكونُ النُّبُوَّةُ فيكم ما شاء اللهُ أن تكونَ، ثم يَرْفَعُها اللهُ – تعالى -، ثم تكونُ خلافةٌ على مِنهاجِ النُّبُوَّةِ ما شاء اللهُ أن تكونَ، ثم يَرْفَعُها اللهُ – تعالى -، ثم تكونُ مُلْكًا عاضًّا، فتكونُ ما شاء اللهُ أن تكونَ، ثم يَرْفَعُها اللهُ – تعالى -، ثم تكونُ مُلْكًا جَبْرِيَّةً فيكونُ ما شاء اللهُ أن يكونَ، ثم يَرْفَعُها اللهُ – تعالى -، ثم تكونُ خلافةً على مِنهاجِ نُبُوَّةٍ. ثم سكت
“Akan ada pada kalian zaman kenabian, berlangsung selama mana yang Allah kehendaki. Apabila Allah berkehendak untuk mengangkatnya, maka diangkatlah ia.
“Kemudian datang zaman khilafah di atas manhaj kenabian, berlangsung selama mana yang Allah kehendaki. Apabila Allah berkehendak untuk mengangkatnya, maka diangkatlah ia.
“Setelah itu muncul zaman pemerintahan yang menggigit (berpegang kuat kepada kuasa), berlangsung selama mana yang Allah kehendaki.
Apabila Allah berkehendak untuk mengangkatnya, maka diangkatlah ia.
“Seterusnya datang zaman pemerintahan yang zalim dan memaksa, berlangsung selama mana yang Allah kehendaki. Apabila Allah berkehendak untuk mengangkatnya, maka diangkatlah ia.
“Kemudian akan datang semula zaman khilafah di atas manhaj kenabian.” Lalu Baginda SAW diam.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, 18406)
Krisis dan cabaran zaman
Apabila umat leka dalam hiburan dan kemewahan, mereka hilang peranan sebagai penyampai risalah Islam.
Kejatuhan bermula apabila ilmu falsafah Yunani diangkat lebih tinggi daripada wahyu, sedangkan ia hanyalah andaian semata-mata.
Maulana al-Nadwī menegaskan bahawa bid‘ah dan khurafat turut menyelubungi kehidupan umat sehingga hampir menutup keindahan tauhid.
Punca-punca kejatuhan dan kemunduran umat Islam
Maulana al-Nadwī menegaskan bahawa kejatuhan umat Islam bukan semata-mata kerana faktor politik atau ekonomi, tetapi berpunca daripada kerosakan rohani dan intelektual umat itu sendiri:
1. Hilangnya kepimpinan yang amanah.
2. Matinya semangat amar makruf nahi mungkar.
3. Kealpaan terhadap ilmu yang bermanfaat.
4. Pemisahan agama daripada sistem sosial.
5. Terhakisnya roh perjuangan.
Gabungan faktor ini akhirnya menghasilkan situasi di mana agama dan politik terpisah, para ulama terpinggir, dan masyarakat mula leka dalam falsafah asing yang melemahkan kekuatan umat.
Namun, Maulana tetap optimis bahawa Islam tidak akan mati, dan masih ada golongan pembaharu (Mujaddid) yang akan membangkitkan umat ini di atas jalan para nabi.
Perjuangan abad keenam dan serangan tentera salib
Ketika Perang Salib, Allah SWT mengurniakan pemimpin agung seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (±1137–1193M) yang menyatukan umat dan menegakkan kembali maruah Islam.
Namun selepasnya, tiada lagi pemimpin besar yang benar-benar ikhlas dan mengutamakan kepentingan ummah melebihi hawa nafsu.
Akibatnya, kekuatan Islam semakin lemah dan berpecah-belah, sehingga akhirnya Kota Baghdad jatuh ke tangan bangsa Tatar.
Kebangkitan Uthmaniyyah dan kemerosotan kemudiannya
Kemunculan Daulah Uthmaniyyah dengan kejayaan Sultan Muḥammad al-Fātiḥ membuka Konstantinopel pada tahun 1453M merupakan sinar baharu bagi dunia Islam.
Mereka memiliki semangat jihad, disiplin dan ketahanan. Namun, selepas mencapai kemuncak, umat kembali mengalami kejatuhan akibat kejumudan ilmu dan penolakan terhadap kemajuan moden.
Menurut Maulana al-Nadwī, abad ke-9 Hijrah (15M) merupakan zaman terakhir kreativiti dan pembaharuan dalam dunia Islam, manakala abad ke-10 Hijrah (16M) menjadi permulaan era kemunduran dan taqlid buta (التقليد والمحاكاة).
Sehingga abad ke-19, sistem pendidikan Islam masih membeku dalam bentuk abad ke-13, sedangkan Eropah mara dengan penemuan saintifik dan teknologi.
Sementara dunia Islam tenggelam dalam kejumudan, Eropah pula mula mengalami kebangkitan luar biasa (Renaissance dan Scientific Revolution) pada abad ke-16 dan ke-17 Masihi.
Kesimpulan
Bab ini menegaskan bahawa kemuncak tamadun Islam berlaku kerana keseimbangan antara roh dan jasad, agama dan dunia, jihad dan ijtihad.
Namun, kejatuhan bermula apabila kepimpinan berpaling daripada asas-asas tersebut iaitu apabila agama dipisahkan daripada politik dan umat leka dalam falsafah serta kemewahan.
Walau bagaimanapun, kewujudan umat Islam sepanjang sejarah tetap menjadi benteng yang melambatkan dominasi jahiliah moden.
Bersambung.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN – HARAKAHDAILY 17/10/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











