Didik cerdik akal tak bentuk jati diri, jiwa akan kosong

- Advertisement -

SEREMBAN: Sistem pendidikan negara wajar dikembalikan kepada asas Islam bagi membina generasi yang beriman dan berakhlak, bukan sekadar bijak berfikir, kata ​Yang Dipertua PAS Kawasan Seremban, Ustaz Rosmin Adam.

- Advertisement -

Menurut beliau, sudah tiba masanya pendekatan pendidikan negara diubah bagi memastikan elemen kerohanian dan sahsiah Islam menjadi teras utama dalam membentuk jati diri pelajar.

​Beliau merujuk kepada peningkatan kes rogol, amang seksual, pergaduhan dan kematian pelajar yang berlaku di sekolah sebagaimana laporan telah menggemparkan seluruh negara baru-baru ini.

​“Pendidikan bukan hanya mengajar pelajar menjawab peperiksaan, tetapi juga membentuk akhlak, disiplin dan rasa takut kepada Allah SWT. Tanpa elemen ini, sekolah hanya melahirkan pelajar yang cerdik akal.

“Tetapi (pelajar itu) kosong jiwa dan akhirnya menjadi pelaku kepada jenayah yang amat dikesali,” katanya turut menegaskan sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk menimba ilmu.

Kini kesali beliau, sekolah telah dicemari dengan insiden yang meragut nyawa dan maruah, sekali gus menuntut tindakan segera daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

​Justeru, PAS Kawasan Seremban ujarnya, berpandangan bahawa pemerkasaan pendidikan kerohanian di semua peringkat sekolah adalah jalan penyelesaian utama bagi mengatasi krisis tersebut.

​Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan agar mengkaji semula pelaksanaan hukuman rotan terkawal sebagai satu bentuk pendidikan dan pencegahan, bukannya untuk menzalimi pelajar.

​“Langkah ini adalah bagi mengembalikan budaya hormat dan disiplin yang semakin terhakis dalam kalangan pelajar,” katanya dan bagi merealisasikan hasrat itu, mencadangkan agar program bimbingan kerohanian dan sahsiah dijalankan secara berkala di sekolah.

Selain itu katanya, guru kaunseling perlu diberi latihan khas dalam aspek bimbingan spiritual dan pengurusan emosi, manakala masjid serta surau berhampiran sekolah wajar dijadikan pusat pembentukan akhlak dan aktiviti keagamaan pelajar.

​“PAS Kawasan Seremban menyeru semua pihak agar menjadikan sekolah sebagai tempat yang benar-benar selamat, berdisiplin dan berjiwa Islam. Inilah pelaburan sebenar untuk masa depan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/10/2025

- Advertisement -