‘Selesaikan dahulu segala formula belum menjadi itu’

Syahir balas kritikan sinis Rafizi terhadap perbahasan Belanjawan 2026 oleh Tuan Guru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengingatkan Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli agar menyelesaikan dahulu segala formulanya yang belum pernah menjadi.

Ia selepas bekas Menteri Ekonomi itu memberikan reaksi terhadap ucapan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS dalam perbahasan Belanjawan 2026, semalam.

Rafizi memberi reaksi antaranya kepada gesaan penolakan terhadap Dolar Amerika Syarikat (USD) dan penggunaan dinar antara negara Islam dengan sinikal, ‘bunyi sedap di warung kopi’.

Mengulas kritikan sinil Rafizi itu, Syahir memulangkan paku buah keras dengan membalas di media sosialnya berkata, ‘Kepada Rafizi, selesaikan dahulu segala formula yang belum menjadi’.

Kenyataan Rafizi tersebut turut menerima pelbagai reaksi di media sosial, termasuk kecaman daripada netizen yang menganggapnya memperlekehkan ucapan Presiden PAS di Dewan Rakyat.

Syahir menjelaskan bahawa Tuan Guru dalam perbahasan Belanjawan itu menekankan kepimpinan negara yang berintegriti, berakhlak dan menjadi teladan kepada rakyat.

Menurutnya, Tuan Guru dalam ucapan berasaskan firman Allah SWT daripada Surah Al-A’raf ayat 96 hingga 98, memperihalkan bahawa negara bertakwa akan menerima keberkatan daripada Allah SWT.

“Belanjawan yang angkanya besar termasuk penggunaan ‘duit anak syarikat kerajaan’ hendaklah dipastikan (mempunyai) sumber yang halal iaitu hasil bumi dan hasil cukai yang tidak memerah.

“Keduanya, berbelanja secara berhemah, iaitu tidak boros, tidak bakhil, ikut keutamaan. Ketiga, memastikan hutang negara terkawal, iaitu elak risiko dan bahaya kepada kewangan negara di masa depan,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Dalam masa sama jelasnya, Tuan Guru menegaskan prinsip ekonomi Islam mestilah diamalkan sepenuhnya dengan menolak riba’ dan rasuah serta menggalakkan penggunaan mata wang dinar sesama negara Islam.

Tambahnya lagi, Tuan Guru turut menekankan bahawa calon Perdana Menteri mestilah seorang yang berintegriti, berakhlak dan budiman selain memastikan kemenangan terlebih dahulu sebelum sebarang pelantikan dibuat.

Dalam perbahasan Tuan Guru jelasnya, turut membangkitkan isu Palestin dengan mengiktiraf perjuangan Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (HAMAS) serta menggesa kerajaan menyalurkan peruntukan khas bagi membina semula Gaza.

“Beliau (Tuan Guru) turut menolak pelan damai yang berat sebelah oleh (Presiden Amerika Syarikat, Donald) Trump serta mengajak seluruh rakyat membantah kehadiran Trump ke Malaysia,” imbasnya.

Menurut Mohd Syahir, Tuan Guru menegaskan komitmen PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat, agama dan negara.

Terdahulu, Tuan Guru menegaskan dalam perbahasannya bahawa kebergantungan Malaysia kepada institusi seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dianggapnya sebagai ‘bapa riba dunia’ akan terus menjerat ekonomi negara dalam sistem kewangan Barat yang menindas.

Tuan Guru menyeru Malaysia memperkukuh kerjasama ekonomi dengan negara Islam dan jiran serantau yang kaya sumber alam bagi membangunkan ekonomi berasaskan keadilan dan keberkatan.

Tuan Guru turut menegaskan bahawa sistem berasaskan riba hanya menambah beban hutang dan tidak akan membawa keberkatan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 16/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -