Negara makin parah akibat kegagalan sistem pendidikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadaan negara dilihat semakin parah akibat kegagalan sistem pendidikan yang dikatakan tidak lagi mampu membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan kebimbangan terhadap hala tuju pendidikan negara apabila pelbagai masalah sosial dan moral yang melibatkan generasi muda terus meningkat.

Katanya, pendidikan adalah tunjang pembangunan negara, dan kegagalannya kini memberi isyarat jelas bahawa masa depan generasi akan datang sedang berada di ambang krisis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang pelajar perempuan tingkatan empat dibunuh oleh seorang pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah di Petaling Jaya, pagi tadi.

“Belum selesai kes pelajar tingkatan tiga dirogol bergilir-gilir di dalam kelas, kini timbul satu lagi isu yang sangat berat dan cukup menakutkan. Kejadian ini sangat membimbangkan kita kerana ia berlaku di sekolah,” tegasnya. 

Menurut beliau, mungkin kerajaan hari ini terutama Kementerian Pendidikan terlupa bahawa pendidikan sebenar adalah proses membentuk manusia yang seimbang dari segi intelek, emosi dan spiritul.

Justeru tegas beliau, sudah tiba masanya pihak berwajib mengembalikan semula peranan guru sebagai pendidik yang dihormati dan diberi autoriti sewajarnya untuk mendisiplinkan pelajar.

“Ini tidak bermaksud memberi lesen untuk bertindak kasar, tetapi menyediakan garis panduan jelas tentang tindakan disiplin yang boleh diambil, serta perlindungan undang-undang kepada guru yang bertindak secara profesional,” ujar beliau.

Beliau berkata, pada masa sama, ibu bapa juga perlu sedar bahawa pendidikan bukan hanya tanggungjawab sekolah semata-mata di mana mereka harus bekerjasama dengan guru dalam membentuk disiplin anak-anak, bukan menentang usaha murni tersebut.

“Jika mahu melihat generasi muda yang berakhlak dan berdisiplin tinggi, kita mesti memberi kepercayaan semula kepada guru, bukan hanya sebagai pengajar, tetapi sebagai pendidik yang mampu membentuk sahsiah pelajar,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2025

- Advertisement -