
SEREMBAN: Insiden tragis dan membimbangkan yang berlaku di institusi pendidikan negara sepanjang tahun 2025 perlu ditangani segera, gesa Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairus Mohd Isa.
Beliau berkata, sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu kini seakan gagal berfungsi sepenuhnya apabila pelbagai kes jenayah dan keselamatan berlaku.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting berkata, rentetan kejadian ini jelas menunjukkan kegagalan dalam aspek keselamatan pelajar, pemantauan pihak sekolah, kawalan disiplin dan sistem pendidikan yang semakin longgar nilai moralnya.
“Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu dan membentuk sahsiah, namun kejadian-kejadian mutakhir ini menunjukkan sistem keselamatan serta pendidikan negara sedang menghadapi krisis yang perlu ditangani segera,” katanya.
Menurutnya, kebimbangan itu berasas apabila negara digemparkan dengan pelbagai insiden termasuk kes murid tingkatan dua menumbuk guru ganti, kematian murid Zara Qairina dan kes murid tahun empat yang ditemui tergantung di tandas sekolah.
Lebih parah lagi ujarnya, berlaku jenayah berat seperti kes empat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merogol bergilir dan merakam perbuatan itu, kes ganguan seksual oleh pengawal keselamatan sehinggalah kepada kes pelajar tingkatan dua menikam mati pelajar perempuan tingkatan empat.
Sehubungan itu, PAS Negeri Sembilan menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil langkah segera bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Gesaan tersebut termasuklah meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kritikal seperti tandas dan koridor, di samping memperketatkan tapisan latar belakang semua pekerja sekolah termasuk pengawal keselamatan.
Pihaknya turut mencadangkan agar bilangan kaunselor terlatih ditambah dan program pembangunan sahsiah diperkukuh, selain menguatkuasakan semula disiplin sekolah dengan pendekatan tegas tetapi mendidik.
Ujarnya lagi, kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat juga perlu diperkasa dalam pemantauan keselamatan.
“Lakukan reformasi sistem pendidikan agar menekankan aspek akhlak, nilai dan pembentukan peribadi bukan semata-mata akademik. Sekolah bukan sekadar tempat belajar, tetapi medan membina masa depan negara.
“Jika keselamatan dan moral anak-anak kita terabai, maka masa depan bangsa juga akan terancam,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











