
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu langkah memindahkan beban kewangan kerajaan kepada syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).
Pengarah Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, cara itu bagi menampakkan kedudukan fiskal negara seolah-olah lebih kukuh daripada realiti sebenar.
Menurut beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam, pendekatan tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan dan keberkesanan tatakelola fiskal kerajaan.
Kerana jelasnya, sebahagian besar perbelanjaan kini diletakkan di bawah tanggungjawab GLIC, bukan lagi secara langsung di bawah Kerajaan Persekutuan.
“Untuk mengurangkan jumlah perbelanjaan rasmi kerajaan, sebanyak RM50.8 bilion kini ‘dipindahkan’ ke bawah GLIC. Antaranya termasuk inisiatif Gear-Up yang mewajibkan GLIC melabur RM30 bilion dalam sektor domestik.
“Seperti semikonduktor, tenaga hijau, kesihatan dan teknologi pintar; Dana Pemacu KWAP bernilai RM1.2 bilion; serta Program Mid-Tier Khazanah Nasional sebanyak RM250 juta bagi membantu 100 syarikat tempatan berpotensi tinggi,” katanya.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan pengumuman semula projek pemulihan Carcosa Seri Negara bernilai RM600 juta yang dilaksanakan oleh Khazanah Nasional, walaupun projek tersebut telah pun disebut dalam Belanjawan 2025.
“Kenapa diumumkan semula? Adakah ini satu lagi projek dikitar semula untuk menampakkan seolah-olah kerajaan memperkenalkan inisiatif baharu?” soal beliau.
Nurul Islam menjelaskan bahawa jika projek Carcosa Seri Negara diklasifikasikan sebagai pelaburan Khazanah, maka ia mesti melalui proses pelaburan ketat melibatkan Jawatankuasa Pelaburan dan Lembaga Pengarah, termasuk penilaian risiko serta pulangan pelaburan (ROI).
“Persoalannya, adakah semua proses ini telah dilalui sebelum PMX mengumumkan projek tersebut dalam Belanjawan? Jika Khazanah tidak bersetuju, bolehkah keputusan itu ditolak sedangkan PMX sendiri adalah Pengerusi Khazanah?” ujarnya.
Beliau turut mengaitkan keadaan ini dengan projek pemulihan Taman Tugu sewaktu pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, yang turut melibatkan kerjasama Khazanah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai RM650 juta.
“Ketika itu, YB Rafizi Ramli sendiri pernah mempersoalkan jaminan bahawa projek Taman Tugu tidak digunakan untuk mengumpul dana pilihan raya. Maka, soalan yang sama kini wajar ditujukan kepada PMX.
“pakah jaminan bahawa ‘pelaburan’ RM600 juta untuk Carcosa Seri Negara tidak mempunyai kepentingan politik?” persoal Dr Nurul Islam.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan keraguan terhadap pelaksanaan Dana Pemacu Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), apabila belanjawan mengumumkan nilai RM1.2 bilion.
Sedangkan KWAP menurutnya, pada Jun 2025 telah pun melancarkan Dana Pemacu RM6 bilion bersama 12 pengurus dana terpilih.
“Adakah ini program baharu, atau sekadar kitar semula inisiatif lama untuk diulang tayang dalam belanjawan?” katanya.
Nurul Islam turut menzahirkan kebimbangan terhadap Program Mid-Tier Khazanah, merujuk kepada kegagalan pelaburan Khazanah dalam syarikat milik Vivy Yusof yang kini masih dalam perbicaraan mahkamah.
“Apabila melibatkan dana awam berskala besar, ia mesti melalui penilaian, semakan dan audit terbuka, serta dilapor secara tahunan kepada Parlimen. Dana rakyat bukan modal percubaan,” tegas beliau.
Beliau menegaskan bahawa setiap inisiatif pelaburan oleh GLIC mesti diaudit secara bebas bagi mengelakkan salah guna sebagai alat politik atau mekanisme pembiayaan pilihan raya terselindung.
“Pada akhirnya, apa pun belanjawan yang dibentangkan akan dinilai melalui pelaksanaan, bukan ucapan. Walaupun PMX sering melaungkan soal integriti dan ketelusan, hakikatnya kerajaan beliau kini berdepan pelbagai isu integriti.
“Integriti bukan sekadar slogan dalam teks ucapan bajet, tetapi perlu dibuktikan melalui tindakan. Jika tidak, tatakelola yang disebut-sebut akhirnya menjadi tatakelongkang,” pertikainya. -HARAKAHDAILY 14/10/2025











