
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam terhadap tragedi pembunuhan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, yang dipercayai ditikam oleh rakan sekelas lelaki pada pagi Isnin.
Kejadian tragis itu, menurut Dewan Ulamak, meruntun hati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, serta menjadi tanda amaran terhadap keruntuhan nilai kemanusiaan dan kasih sayang dalam masyarakat hari ini.
Ketua Penerangannya, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah, dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa Islam memandang nyawa manusia sebagai sesuatu yang amat suci dan tidak boleh dipermainkan.
Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 32: “Barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.”
“Nilai kemanusiaan dan kasih sayang harus mengatasi segala perbezaan agama, bangsa dan latar belakang. Kematian tragis ini mengajak seluruh masyarakat untuk menilai kembali arah pendidikan, suasana sosial dan budaya kasih sayang yang semakin pudar di kalangan anak muda hari ini,” katanya.
Dewan Ulamak PAS Pusat turut menyuarakan kebimbangan terhadap tanda-tanda keruntuhan moral dan tekanan jiwa dalam kalangan pelajar, apabila sekolah yang sepatutnya menjadi tempat membina ilmu dan akhlak kini tercemar dengan insiden yang amat menyayat hati.
Sehubungan itu, Dewan Ulamak menyeru Kementerian Pendidikan memperkukuh pendidikan nilai dan sahsiah di sekolah, memperhebat bimbingan kaunseling, serta membina suasana pendidikan yang menekankan pembinaan hati dan jiwa.
“Bukan hanya kecemerlangan akademik semata-mata. Pendidikan moral yang benar harus berteraskan fitrah manusia, membina empati, mengawal emosi dan menginsafi nilai nyawa sesama insan,” tegasnya lagi.
Dewan Ulamak juga menyeru para ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat untuk bersama menanamkan semula nilai kasih sayang, tolong-menolong dan kepekaan terhadap perasaan orang lain, kerana jiwa yang gersang daripada kasih sayang akan mudah dikuasai amarah dan kehilangan arah.
“Tragedi ini seharusnya menjadi cermin kepada seluruh masyarakat bahawa kita sedang berdepan dengan krisis nilai yang serius. Nilai kemanusiaan, hormat dan belas kasihan mesti dipulihkan semula dalam sistem sosial dan pendidikan kita,” ujarnya.
Dewan Ulamak turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberi ketabahan serta ketenangan dalam menghadapi ujian yang berat ini.
“Semoga tragedi ini menjadi pengajaran besar yang membangkitkan kesedaran nasional tentang pentingnya membina generasi berjiwa kasih dan berakhlak mulia,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2025











