Gagal tangani isu, Menteri Pendidikan perlu letak jawatan

Fadhli sifatkan Fadhlina tidak kompeten

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu mendesak Menteri Pendidikan bertanggungjawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan berikutan kegagalan menangani isu keselamatan pelajar di sekolah seluruh negara.

- Advertisement -

Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, kegagalan demi kegagalan Fadhlina Sidek dalam menangani kes bunuh, buli, rogol, cabul dan gangguan seksual jelas menjejaskan amanah rakyat serta masa depan pelajar.

“Kegagalan demi kegagalan YB Menteri Pendidikan dalam menangani isu semasa adalah satu kelemahan terhadap amanah rakyat dan masa depan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai kes telah dilaporkan dan menjadi perhatian umum, tiada tindakan pencegahan yang signifikan dan menyeluruh dilaksanakan.

“Kementerian hanya dilihat bertindak secara reaktif dan sambil lewa, tanpa pelan tindakan jelas untuk melindungi keselamatan anak anak.

“Lebih mengecewakan, Menteri Pendidikan hari ini terlalu terpengaruh dengan konsep inklusif tanpa batas dan tanpa memahami realiti akar umbi, hingga mengabaikan tanggungjawab sebenar menjaga moral, disiplin dan kesejahteraan.

“Fokus kementerian seolah hanya untuk menjaga nama dan menaikkan imej sendiri, bukan menyelesaikan masalah sebenar,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, kelemahan itu menunjukkan Fadhlina Sidek tidak kompeten dan tidak sesuai menerajui Kementerian Pendidikan.

“Seorang menteri seharusnya tegas, pertimbangannya jelas, berprinsip dan berani bertindak bukan hanya pandai berbicara,” katanya.

Mohd Fadhli turut meminta Menteri Pendidikan mencontohi ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang menekankan kepentingan keutuhan institusi keluarga sebagai asas kekuatan masyarakat dan negara.

“Ucapan beliau wajar diberikan pujian dan penghargaan kerana mengingatkan semua pihak, khususnya pemerintah, bahawa pendidikan sebenar bermula daripada pembinaan keluarga yang berpegang kepada nilai moral, agama dan tanggungjawab.

“Inilah pandangan yang matang dan berpaksikan prinsip Islam, yang perlu dijadikan panduan dalam menggubal dasar negara.

“Namun amat malang apabila pada masa yang sama, Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan YB Fadhlina Sidek gagal menunjukkan keprihatinan dan kecekapan dalam menangani isu isu kritikal,” katanya.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan segera menggubal Polisi Anti Buli dan Gangguan Seksual Sekolah yang wajib dipatuhi semua warga sekolah.

“Melaksanakan program bimbingan dan pemulihan berterusan kepada pelajar mangsa serta pelaku. Mengambil tindakan tatatertib tegas terhadap pentadbir atau guru yang gagal melindungi pelajar,” katanya.

Beliau turut meminta memperkukuh pendidikan berasaskan agama, moral dan akhlak sebagai asas utama pembentukan pelajar, selain mencadangkan Menteri Pendidikan melantik pemerhati dari kedua pihak termasuk pembangkang dalam meneliti dasar KPM.

Fadhli turut minta menyediakan saluran laporan sulit dan selamat contohnya talian khas, peti aduan atau aplikasi mudah alih.

“Mengikut model UK dan Australia, laporan mesti disiasat dalam tempoh 24 hingga 48 jam oleh pegawai khas yang bukan daripada sekolah itu sendiri untuk elak berat sebelah,” katanya.

Beliau turut menggesa menggantikan pendidikan liberal dengan pendidikan seksual berasaskan nilai agama, moral dan batasan syarak.

“Contoh dari Korea Selatan dan Jepun, mereka masukkan pendidikan ‘body safety and personal boundaries’ seawal sekolah rendah untuk elak ‘grooming’ dan eksploitasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, penubuhan Unit Khas Keselamatan dan Perlindungan Pelajar (UKKPP) di bawah KPM juga perlu untuk memantau semua laporan dan tindakan kes seksual di sekolah.

“Semua kes mesti direkod dan dilaporkan secara tahunan kepada Parlimen seperti laporan tahunan Safeguarding Children Board di UK,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2025

- Advertisement -