
KUALA LUMPUR: Ustaz Muhammad Ismi Md Taib (PN–Parit) menegaskan bahawa tanpa keadilan dalam agihan peruntukan pembangunan, kesejahteraan rakyat tidak akan dapat dicapai secara menyeluruh.
Beliau menekankan bahawa walaupun kawasan Parit diwakili oleh ahli parlimen pembangkang, rakyatnya tetap membayar cukai, mematuhi undang-undang, dan berhak mendapat kemudahan asas yang sama seperti rakyat di kawasan lain.
Malangnya, sehingga kini peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang masih tidak disalurkan secara adil walaupun perkara sama telah tiga tahun berturut-turut dibangkitkan semasa Sidang Belanjawan.
“Kami tidak menuntut layanan istimewa, hanya keadilan dan kebajikan untuk rakyat Parit yang telah lama bersabar,” tegas beliau ketika berucap dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Ustaz Ismi turut menekankan keperluan segera menaik taraf telekomunikasi dan capaian internet di kawasan luar bandar seperti Kampung Bidara, Kampung Selebu, Kampung Kota Pagar, Kampung Belanja Kiri, Kampung Teluk Perang, Kampung Serapoh, Kampung Simpang Tiga, Kampung Buluh Akar dan Kampung Cuping.
Beliau menyeru Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi untuk mempercepat naik taraf menara 4G dan 5G serta memperluas jaringan fiber optik, termasuk mencadangkan penubuhan dana khas untuk pembangunan infrastruktur digital di kawasan pedalaman.
Selain isu telekomunikasi, pembangunan komuniti nelayan darat turut menjadi fokus melibatkan kawasan seperti Teluk Perang, Choping Kanan, Choping Kiri dan Teluk Kepayang mempunyai potensi besar untuk dijadikan pusat industri ikan darat.
Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan, antaranya, menaikkan elaun sara hidup nelayan darat daripada RM250 kepada RM350 sebulan; menambah kuota penerima bantuan daripada 80 kepada 150 nelayan dan memberikan subsidi petrol dan diesel kepada nelayan darat, setara dengan nelayan laut.
Katanya lagi, langkah ini diharap dapat menjadi pemangkin ekonomi baru di kawasan Perak Tengah.
Dalam pada itu, Ustaz Ismi turut menyorot isu pembinaan Masjid Ufraniah Titi Gantung yang masih belum menerima peruntukan kerajaan walaupun permohonan telah mematuhi syarat.
Selain itu katanya, pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko dan pembinaan jejambat (flyover) di Jalan Ipoh-Lumut, terutama di Tronoh, Seri Iskandar, FELCRA Bota Kanan dan Bota Kiri, turut dicadangkan bagi meningkatkan keselamatan dan kelancaran trafik.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa Bajet 2026 dilihat lebih konservatif dan tertumpu kepada bantuan segera, namun kurang memberi penekanan kepada pembaharuan struktur untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti jangka panjang.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah satu anjakan berani untuk membina asas pertumbuhan baru berteraskan inovasi, teknologi dan kemahiran tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan pelaburan dalam sektor pengangkutan awam moden, pendidikan berkualiti, dan teknologi tinggi masih perlahan, menyebabkan jurang pembangunan antara Lembah Klang dan negeri lain semakin melebar. – HARAKAHDAILY 15/10/2025











