Kerajaan digesa proaktif tangani isu LRT kerap rosak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan serius terhadap siri gangguan dan kerosakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dilihat semakin kerap berlaku kebelakangan ini, khususnya membabitkan laluan Ampang–Sri Petaling dan Kelana Jaya.

Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, gangguan berulang seperti yang dilaporkan oleh pelbagai media menunjukkan sistem pengangkutan awam utama negara kini berdepan krisis penyelenggaraan membimbangkan.

Menurutnya, kerosakan tren, gangguan suis landasan serta kekurangan tren beroperasi bukan sahaja menjejaskan kelancaran perkhidmatan, tetapi turut memberi kesan besar kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang bergantung kepada LRT bagi urusan kerja dan kehidupan seharian.

“Situasi penumpang yang terpaksa bersesak-sesak ‘macam sardin’ jelas memperlihatkan tahap ketidakselesaan dan risiko keselamatan yang semakin meningkat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, PN jelasnya menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Prasarana Malaysia Berhad supaya melaksanakan langkah-langkah proaktif dan menyeluruh bagi menangani isu berkenaan secara tuntas.

Antara tindakan segera yang dicadangkan beliau ialah pelaksanaan Pelan Penyelenggaraan Menyeluruh (Comprehensive Maintenance Plan) bagi mengkaji semula sistem penyelenggaraan tren dan infrastruktur supaya dilaksanakan secara berkala, cekap dan telus.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan pasukan Audit Teknikal Bebas bagi menilai tahap keselamatan dan prestasi teknikal sistem LRT sedia ada, serta mempercepatkan perancangan jangka panjang untuk pembelian tren baharu dan menaik taraf sistem kawalan serta isyarat landasan bagi mengelakkan gangguan berulang.

“(Selain itu) Komunikasi krisis yang telus (iaitu) menambah baik sistem makluman kepada pengguna ketika gangguan berlaku supaya rakyat tidak dibiarkan tanpa maklumat atau alternatif perjalanan yang jelas,” terangnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Beliau menegaskan, kegagalan kerajaan menangani isu itu secara serius akan terus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mentadbir sektor pengangkutan awam dengan baik.

“LRT sepatutnya menjadi simbol kemajuan dan kebolehpercayaan sistem mobiliti bandar, bukannya sumber tekanan kepada pengguna. Kesejahteraan dan keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan dalam setiap dasar pengangkutan negara,” katanya.

Khairil Nizam turut mengingatkan kerajaan supaya tidak hanya menunggu masalah berlaku baru bertindak, sebaliknya perlu bersikap proaktif dan berfikir jauh ke hadapan dalam memastikan sistem LRT beroperasi dengan lancar, selamat dan efisien demi kepentingan rakyat. – HARAKAHDAILY 14/10/2025

- Advertisement -
- Advertisement -