MB Perlis berkunjung ke UNITEN perkukuh jalinan strategik

- Advertisement -

BANGI: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mengetuai delegasi rasmi Kerajaan Negeri dalam satu lawatan kunjungan balas ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik dua hala antara negeri dan institusi pengajian tinggi tersebut.

Ia juga turut disertai Exco Kerajaan Negeri bagi Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan wakil-wakil agensi kerajaan negeri.

Lawatan ini turut menjadi platform penting dalam meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Ia khususnya bagi manfaat anak-anak muda Perlis yang berhasrat melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Dalam kunjungan penuh mesra itu, Menteri Besar turut berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan pelajar-pelajar asal Perlis yang kini menuntut di UNITEN.

Beliau turut menyampaikan pesanan semangat dan dorongan agar para pelajar terus tekun menimba ilmu serta mengharumkan nama negeri di pentas pendidikan negara.

Mohd Shukri juga dibawa meninjau sekitar kawasan kampus UNITEN dengan menaiki bas dan turut berpeluang menjamu selera di salah satu restoran dalam kampus bersama para pelajar.

Sebagai tanda ingatan, beliau juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada semua pelajar yang hadir, menzahirkan keakraban dan keprihatinan kepimpinan negeri terhadap generasi muda.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohd Shukri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga UNITEN dan pelajar-pelajar atas kesudian menerima kunjungan tersebut.

“Semoga jalinan kerjasama ini terus diperkukuh demi manfaat bersama, seiring dengan hasrat memperkasa kecemerlangan akademik dan pembangunan bakat muda negara,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Lawatan ini juga manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bersedia memacu negeri ini ke arah negeri berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. – HARAKAHDAILY 13/10/2025

- Advertisement -